Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. foto AFIQ RAZALI, 23 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – “Saya tidak perlu untuk merendahkan imej saya serendah beliau (Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan) untuk mengulangi bersumpah di depan al-Quran,” tegas Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian mengulas cabaran Khairuddin yang tidak berpuas hati dengan sumpah Ahmad Zahid berhubung perjumpaannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.

“Bila saya bersumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi, itu cukup bagi (saya) orang beriman bersumpah,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu melafazkan sumpah semalam, memberitahu beliau tidak pernah merangkak dan bukan dirinya yang meminta untuk berjumpa Tun Dr Mahathir, sebaliknya Khairuddin yang menuduhnya penipu itulah sebenarnya menghubungi dan mengaturkan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, beliau mempunyai beberapa agenda yang lebih penting untuk parti daripada melayan desakan atau cabaran Khairuddin.

Mengenai tindakan seorang ahli Pergerakan Pemuda UMNO peringkat cawangan membuat laporan mengenai berlaku politik wang oleh calon Pemuda di Bahagian, Ahmad Zahid berkata, beliau memerlukan laporan rasmi dibuat dan dihantar ke ibu pejabat UMNO untuk diambil tindakan oleh Lembaga Disiplin parti.

Katanya, UMNO harus menghapuskan amalan politik wang pada tahap seratus peratus daripada berlaku di peringkat perebutan serendah dan setinggi jawatan yang dipertandingkan.

“Kita mahu sifar politik wang dan biarlah kemenangan yang diperolehi oleh calon yang bertanding secara kredibiliti,” katanya.

Ditanya jika beliau kalah dalam pertandingan perebutan jawatan Presiden, Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, beliau akan terus kekal dalam UMNO dan akan membantu pemimpin yang menang untuk mengukuhkan parti.

Mengenai kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau menjelaskan, semua barisan kepemimpinan harus berlapang dada dan berfikiran terbuka.

Ujarnya, selepas 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan pelantikan Menteri Kabinetnya yang lengkap dengan Timbalan Menteri, UMNO dan BN akan memantau sejauh mana PH melaksanakan akujanji yang terkandung dalam manifesto parti itu sebagaimana dijanjikannya kepada rakyat.

“Kita akan jadi pembangkang yang konstruktif dan berwibawa. Kita akan memantau pentadbiran kerajaan ini. Adakah mereka melaksanakan apa yang dijanjikan kepada rakyat atau sebaliknya,” katanya. – MalaysiaGazette