Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Honda Malaysia telah menggantikan lebih 228,000 pengembung beg udara bahagian pemandu jenama Takata yang terbabit dalam penarikan balik produk itu, yang diterjemahkan kepada kadar 87 peratus selesai setakat 2 Julai.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata ia telah menggantikan lebih daripada 465,000 unit pengembung beg udara Takata bahagian pemandu dan penumpang hadapan, iaitu 79 peratus selesai.

Pengedar kereta itu terus menekankan mengenai kesegeraan untuk menggantikan beg udara terbabit, dengan berkata, ia akan memberi kerjasama penuh kepada Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Pada 2 Jun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa pemilik 71,315 kereta Honda masih tidak menggantikan beg udara Takata dan mereka akan dihalang daripada memperbaharui cukai jalan.

Honda Malaysia hari ini sekali lagi merayu pemilik kenderaan Honda yang terbabit supaya memperbaiki kenderaan mereka di pengedar sah Honda secepat mungkin, kerana beg udara itu mungkin menggunakan tekanan dalaman yang berlebihan apabila diaktifkan dan selongsong pengembungnya mungkin pecah.

“Honda Malaysia ingin menarik perhatian bahawa penggantian pengembung beg udara Takata yang terjejas adalah percuma dan sebarang kos berkaitan penggantiannya akan ditanggung oleh Honda Malaysia,” katanya.

Syarikat itu menambah, ia mempunyai 100 peratus ketersediaan stok bagi pengembung beg udara bahagian pemandu dan penumpang depan.

Honda Malaysia berkata, penggantian boleh dilakukan di mana-mana 92 pengedar sah Honda di seluruh negara serta hab mudah alih di pusat beli-belah yang terpilih serta hab siri jelajah Honda dan stesen Petronas terpilih.

Syarikat itu juga turut memperluaskan penggantian pengembung beg udara Takata kepada kenderaan Honda yang diimport yang tidak dijual pihaknya.

Menurutnya, model Honda yang dijual ketika ini tidak mempunyai pengembung beg udara Takata, oleh itu ia tidak terlibat dalam penarikan balik berkenaan.- Bernama