Datuk Seri Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – “Sebenarnya, Datuk Ahmad (Maslan) betul kerana memang ada barang yang alami penurunan harga apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan seperti kereta, alat ganti, tayar, minyak pelincir, perabot, alat-alat elektronik dan lain-lain,” kata bekas Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau ada menonton klip video Datuk Ahmad Maslan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyatakan harga akan turun dengan GST, namun bukan semua barang mengalami penurunan harga.

“Saya mendapati sesi temubual televisyen mengenai GST dengan Datuk Ahmad Maslan itu berdurasi 1 jam.

“Tetapi sesi TV beliau yang berdurasi 1 jam itu disunting menjadi 15 saat sahaja oleh pakar propaganda Pakatan yang mahu membina persepsi bahawa beliau kata semua barang akan turun harga semata-mata untuk memburukkan beliau dan kerajaan BN.

“Oleh kerana klip 15 saat ini sangat tular, maka ramai yang telah tertipu dan tidak mendengar penjelasan sebenar atau penjelasan penuh wawancara 1 jam itu,” katanya menerusi laman Facebook milik beliau hari ini.

Tambahnya, apa yang berlaku itu sangat tidak adil tetapi ia adalah antara cara Pakatan Harapan menggunakan propaganda yang tidak jujur.

Menurut Najib, mungkin silap beliau kerana tidak membuat kenyataan akhbar khusus bila GST dilaksanakan pada tahun 2015 bagi mengumumkan bahawa harga semua kereta turun seperti yang dilakukan oleh ‘individu itu’ yang menghebohkan bahawa lima  jenama kereta turun harga dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) melalui kenyataan dan sidang media.

Malah Najib mendakwa harga barang-barang kembali meningklat apabila SST dilaksanakan dua minggu dahulu.

“Tidak seperti perlaksanaan GST, ada juga kereta yang naik harga dengan SST tetapi tidak disebut dalam kenyataannya,” ujarnya.

Najib berkata, selain harga turun apabila GST menggantikan SST pada tahun 2015, kerajaan Barisan Nasional (BN) turut memansuhkan cukai impot untuk kereta dari Jepun dan memberi insentif Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). – MalaysiaGazette