Timbalan Menteri Tenaga Manusia, Datuk Mahfuz Omar bercakap pada majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali Ke-21 (COSH 2018) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 SEPTEMBER 2018.
Datuk Mahfuz Omar. foto SYAFIQ AMBAK, 24 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 setiap kes sekiranya gagal membayar pampasan kepada pekerja yang ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dalam tempoh tujuh hari mengikut Akta Pekerjaan 1955.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mahfuz Omar berkata, syarat pembayaran pampasan itu adalah mengikut Akta Peraturan Peraturan Kerja (Faedah-Faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980, di bawah Akta Pekerjaan 1955.

Beliau mengulas mengenai nasib 800 pekerja syarikat tersebut yang ditawarkan VSS minggu lalu.

Nasihat itu hadir selepas kenyataan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) minggu lepas yang mendakwa tawaran VSS oleh syarikat dengan pembayaran pampasan secara ansuran selama setahun kepada kesemua kakitangan yang akan ditamatkan pekerjaan adalah tidak adil.

Menurut Mahfuz, beliau difahamkan majikan UMMB sedang berbincang dengan kesatuan sekerja untuk mencari jalan menyegerakan bayaran tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH) 2018.

Turut hadir Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Tye.

Dalam perkembangan berkaitan beliau menggesa pekerja yang ditawarkan VSS supaya tampil mengemukakan aduan rasmi kepada kementerian itu supaya proses siasatan dan sebagainya dapat dijalankan.

“Sebarang tindakan berasaskan kepada aduan yang dibuat oleh pekerja. Pekerja perlu berani (buat aduan) kerana itu hak dia yang dijamin undang-undang.

“Tanpa aduan kita tidak boleh bertindak.. kita sedang memantau setakat ini berdasarkan maklumat dari berita yang disiarkan media secara meluas.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Eksekutif Korporat Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) Datin Azlaily Abd Rahman berkata pekerja Utusan Melayu yang menerima VSS layak mendapat bantuan daripada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

“Mereka boleh mendapat bayaran interim RM600 sebulan untuk tempoh tiga bulan dan juga akan dibantu mendapatkan pekerjaan baharu sama ada dalam bidang yang sama atau di luar bidang yang diceburi selama ini,” tegas beliau.

Pada Sabtu lalu, NUJ dalam satu kenyataan mendakwa VSS yang ditawarkan majikan kepada 800 kakitangan wartawan bukan eksekutif dan eksekutif itu tidak jujur dan cukup mencurigakan kerana ia dibuat secara tergesa-gesa tanpa perbincangan serta pandangan kesatuan.

Malah faedah VSS itu didakwa lebih rendah daripada skim yang terkandung dalam CA pihak itu selain kemempuan syarikat untuk membayar pampasan yang mencurigakan kerana syarikat masih belum mempunyai wang untuk melaksanakannya.

Lebih penting lagi pembayaran pampasan kepada pekerja juga dibuat bukan sekali gus tetapi secara ansuran bulanan yang mengambil masa selama setahun untuk diselesaikan yang didakwa lari daripada amalam biasa VSS yang ditetapkan undang-undang.- MalaysiaGazette