Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani menafikan dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan EngĀ  sejumlah wang RM19 bilion daripada input cukai barang dan perkhidmatan (GST) hilang.

Bekas menteri kewangan kedua itu berkata, beliau bersama bekas rakan sejawatnya, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah telah meluangkan masa hampir sejam hari ini untuk memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang diketuai Datuk Seri Ronald Kiandee.

“Saya dengan Husni telah beri penerangan kepada mereka tentang prosedur dari segi pembayaran GST.

“Saya tekankan bahawa tidak ada wang yang hilang sebanyak RM19.1 billion.

Impossible duit itu nak hilang dan saya dah terangkan kepada mereka. Sepertimana yang saya sebut, bahawa refund premium ini dibagi kepada banyak kategori,” katanya ketika ditemui selepas memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut di Parlimen hari ini.

Johari berkata, pembayaran balik GST terbahagi kepada banyak kategori dan bukan semua tuntutan dapat dibayar kerana ia merupakan dana perbekalan yang belum dikategorikan sebagai perbekalan bercukai.

“Yang pertama refund yang tidak boleh dibayar kerana dia merupakan pembekalan yang belum dikategorikan pembekalan bercukai.

“Yang kedua siasatan sedang berjalan berhubung sesetengah dakwaan. Ketiga adalah isu-isu deduction, keempat semakan kelulusan dan akhir sekali yang telah diluluskan,” ujarnya.

Johari bersama Ahmad Husni hari ini diarah hadir ke mesyuarat PAC bagi membantu siasatan berhubung dakwaan Guan Eng bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah “menyalahgunakan” wang RM19.4 bilion dalam pembayaran balik GST.

Ia susulan dakwaan Guan Eng di Dewan Rakyat pada 8 Ogos lalu bahawa kerajaan BN ‘merompak’ bayaran balik GST yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga dalam masa dua minggu.

Beliau berkata, audit dalaman dan pemeriksaan Jabatan Kastam mendapati sejumlah RM19.4 bilion hilang dalam tabung bayaran balik GST. – MalaysiaGazette