KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan Lembaga Disiplin PKR bertindak terhadap siapa sahaja yang melanggar ketertiban proses pemilihan, tanpa mengira kedudukan dalam parti.
Beliau yang menang jawatan Presiden PKR tanpa bertanding itu berkata, arahan pimpinan adalah jelas menuntut sistem pemilihan yang telus, bersih dan adil.
“Semua undi hendaklah dikenalpasti dan dikira,” katanya dalam kenyataan yang dipetik menerusi laman sosial Facebook rasmi parti Keadilan, hari ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson bagaimanapun, berpuas hati dengan proses pengendalian pemilihan parti, dengan menyifatkannya sebagai memuaskan.
Katanya, kalau ada beberapa masalah dan kecelaruan bersabit dengan pelaksanaan sistem biometri termasuk undi yang tidak dikesan, ia dapat ditangani dengan merujuk terus kepada pengundi.
“Sebahagian besar proses pengendalian pemilihan parti telah diselenggara dengan memuaskan.
“Namun masih terdapat beberapa kecelaruan bersabit plaksanaan sistem biometrik termasuk undi yang tidak dikesan. Perkara tersebut dapat ditangani dengan merujuk terus kepada tablet pengundi,” katanya.
Semalam, penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa isu pusat undi lewat dibuka disebabkan masalah sistem e-undi memberi gambaran tidak baik kepada proses pemilihan parti itu.
Bercakap kepada media selepas tiba di pusat undi di Kompleks Sri Siantan, Batu Caves, kira-kira jam 9.40 pagi itu, beliau berkata, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) perlu menambah baik sistem berkenaan. – MalaysiaGazette