Tabung Haji
Laporan yang menyebut cawang Tabung Haji kehabisan duit adalah fitnah semata-mata.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengelak melaksanakan ‘kejuruteraan kewangan’ yang rumit dalam menyelesaikan masalah Tabung Haji, yang bermungkinan akan menyebabkan cabaran yang dihadapinya kurang telus, kata Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Majlis itu turut menggesa kerajaan Pakatan Harapan supaya memberi jaminan ke atas semua deposit tanpa batas tertinggi, kerana ini akan mengurangkan kemungkinan pengeluaran dana oleh individu bernilai tinggi yang sekali gus boleh mengurangkan daya maju kewangan Tabung Haji.

“Kerajaan perlu menyelesaikan audit penuh ke atas akaun Tabung Haji serta penilaian ke atas aset-asetnya sebelum menjual RM20 bilion aset kepada jentera tujuan khusus.

“Kami bimbang bahawa pemindahan aset dari Tabung Haji akan menjadi permulaan kepada pemindahan aset yang jauh lebih besar, yang kelak akan mengurangkan kepentingan Tabung Haji,” kata MTEM dalam satu kenyataan hari ini.

MTEM berkata, dalam menghadapi tekanan fiskal yang semakin meningkat, kerajaan mungkin memutuskan untuk menjual lebih banyak aset Tabung Haji memandangkan ini lebih mudah daripada penstrukturan semula secara menyeluruh, yang akan mengambil masa yang lama serta pembiayaan yang kecil.

MTEM sangat bimbang terhadap pendedahan kewangan serta rancangan yang dicadangkan untuk menambah baik Tabung Haji.

“Tabung Haji kini bukan sahaja merupakan institusi yang mengurus rakyat Malaysia untuk mengerjakan ibadah haji, malah merupakan antara dana pelaburan nasional utama. Gabungan pelaburan berlandasarkan Syariah, pembayaran zakat secara automatik dan pakej ibadah haji bersubsidi menjadikan Tabung Haji sebagai pilihan pelaburan popular dalam kalangan umat Islam Malaysia,” katanya.

MTEM baaimanapun bersetuju cabang pelaburan Tabung Haji diletakkan di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ini merupakan langkah yang positif kerana BNM diiktiraf secara sejagat sebagai antara institusi awam yang paling baik ditadbir urus di Malaysia.

“Integriti BNM serta rekod baiknya dalam mengurus sistem monetari negara akan memastikan sebarang kesilapan yang dilakukan oleh Tabung Haji tidak berulang pada masa depan.

MTEM juga mahukan Menteri di Jabatan Perdana Menetri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa membuat penjelasan bahawa dividen yang diterima oleh oleh pendesposit sejak 2017 bukan ‘Duit Haram’ memandangkan kenyataan ini hanya berkemungkinan mengurangkan dana memasuki Tabung Haji.

Majlis itu turut mencadangkan kerajaan mengambil langkah ke belakang dengan menilai semua pilihan dan nasihat sebelum meneruskan secara melulu penyusuanan semula Tabung Haji, yang berkemungkinan boleh mengurangkan manfaat dan nilai untuk umat Islam.

“Adalah lebih baik menggantung penyusunan semula Tabung Haji sehingga gambaran yang lebih tepat berkenaan kewangannya dibentuk.

MTEM juga berkata, kerajaan Pakatan Harapan mesti mengendalikan penstrukturan aset-aset Tabung Haji dengan berhati-hati. – MalaysiaGazette