Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjelaskan pembayaran zakat oleh tabung itu selepas mendapat nasihat lembaga zakat.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pembayaran zakat itu dibuat di semua negeri termasuk yang bukan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

“Saya tidak berminat menjadikan kewajiban agama sebagai isu politik.

“Ustaz Khairy boleh berfatwa sendiri, tetapi saya lebih percaya kepada ilmuwan Islam dalam lembaga zakat berbanding mereka yang mahu mempolitikkannya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Wan Saiful menjawab kritikan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bahawa PTPTN tidak perlu membuat pembayaran zakat kerana agensi itu bukan perniagaan dan kini menanggung hutang.

Menurut laporan tahunan PTPTN, agensi itu telah menyiarkan keuntungannya sejak tahun 2011.

Setelah pemeriksaan yang lebih teliti, keuntungan ini hanya dimungkinkan kerana geran oleh Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM1,881,170,970 pada 2016.

Tanpa geran tersebut, PTPTN akan mencatatkan kerugian besar setiap tahun sepanjang tempoh keseluruhan.

Semalam, PTPTN dalam kenyataannya menjelaskan ia wajib membuat pembayaran itu kerana mendapat untung daripada pelbagai pelaburannya.

PTPTN juga menjelaskan, ia telah mendapatkan pandangan daripada Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Lembaga Zakat Selangor sebelum membayarnya.

Setakat ini, pembayaran zakat telah dijelaskan di Melaka, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Kedah. – MalaysiaGazette