Wan Zack Haikal
Wan Zack Haikal

KUALA LUMPUR – Selangor akan berusaha memberikan rawatan terbaik buat Wan Zack Haikal supaya kembali pulih bagi mengharungi musim 2019 selepas ditimpa kecederaan lutut, baru-baru ini.

Namun, keadaan itu tidak menggusarkan Jurulatih, B Sathianathan yang masih mempunyai pilihan pemain jika beliau terpaksa kehilangan Wan Zack dalam beberapa perlawanan awal, musim ini.

“Kita masih tunggu keputusan daripada doktor kedua dan kemudian kita akan tengok pandangan doktor pertama sebelum membuat pilihan terbaik untuk Wan Zack. Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku.

“Tiada masalah jika ketiadaan Wan Zack kerana kita masih ada pilihan pemain seperti Syazwan Zainon dan Nurridzuan atau meletakkan pemain lain.

“Kita juga ada satu dua nama daripada skuad Piala Presiden yang boleh diketengahkan tetapi Wan Zack istimewa. Dia ada kelebihan, tetapi sebagai jurulatih harus bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya lapor sebuah laman portal.

Sementara itu, Wan Zack mengakui masih berasa kurang selesa di bahagian lutut, namun, kekal optimis untuk beraksi musim ini.

Dengan meletakkan sasaran peribadi membantu The Red Giants menjulang sekurang-kurangnya satu piala, beliau berterima kasih kepada pengurusan Selangor yang berusaha memberikan khidmat rawatan terbaik untuk melihatnya kembali pulih.

“Alhamdulillah, sudah tentu sebagai pemain apabila majikan mengambil berat sudah tentu kita berkobar-kobar untuk kembali beraksi.

“Bagi saya seorang pemain sudah biasa dengan kecederaan dan tidak boleh lari daripadanya. Apa yang penting kita bekerja ikhlas untuk membantu pasukan,” ujarnya. – MalaysiaGazette