Faekah dalam ciapan Twitter berhubung menteri PH yang gagal tunai janji dan melanggar janji
Faekah dalam ciapan Twitter berhubung menteri PH yang gagal tunai janji dan melanggar janji

KUALA LUMPUR – Rakyat bukan sahaja muak dengan pertelagahan sesama sendiri dalam kalangan Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH), malah turut cuak dengan kegagalannya menunaikan janji.

Faekah Husin, bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Selangor berkata,  rakyat muak dengan sikap Menteri PH melanggar manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Bukan itu sahaja (merujuk status Tun Daim Zainuddin), rakyat muak Menteri sewenang-wenangnya tidak tunai janji, langgar manifesto (dan) dengan selamba melantik anak, isteri serta orang-orang parti dalam anak syarikat kerajaan dan agensi kerajaan.

“Letak orang sendiri tanpa ada rasa segan silu pada rakyat. Bagi alasan bodoh. Patutlah cengkerik pun dah pandai kencing berjemaah,” katanya menerusi ciapan terbaharu dalam akaun Twitternya, semalam.

Beliau  aktif memantau isu semasa politik kerajaan baharu menerusi media sosial Twitternya.

Beliau mengulas kenyataan Daim yang merupakan bekas Menteri Kewangan, bahawa menteri (PH) bergaduh sesama sendiri boleh timbulkan rasa muak rakyat.

Semalam, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu, menasihatkan sesetengah menteri Kabinet supaya tidak terus ‘bergaduh’ sesama sendiri secara terbuka kerana boleh menimbulkan rasa muak rakyat kepada kerajaan.

Beliau dilaporkan berkata, meskipun difahami kesemua Menteri Kabinet adalah baharu, namun sikap seumpama itu tidak boleh dibiarkan, sebaliknya mereka disarankan supaya sentiasa menunjukkan semangat bersatu padu.

Daim dipercayai merujuk Menteri ‘bergaduh’ itu antara Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bercanggah pendapat dalam membuat keputusan berkenaan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan pembatalan kontrak China Communications Construction Company (CCCC). – MalaysiaGazette