Kembara Qurban Afrika 2019 akan melakukan ibadah korban di empat negara Afrika pada Ogos ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Nadisihat (Nadisihat) menyasarkan kira-kira 1,000 ekor lembu bagi melaksanakan ibadah korban di empat negara pada Ogos depan menerusi program dikenali Kembara Qurban Afrika 2019.

Presidennya, Azlina Abdul Aziz berkata, jumlah tersebut akan dapat membantu lebih 50,000 keluarga di sana menerusi pengagihan daging lembu kepada golongan miskin dan mangsa pelarian.

Beliau berkata, benua Afrika dipilih kerana memiliki beberapa negara yang miskin dan di dunia dengan jumlah penduduk majoritinya beragama Islam.

Jelasnya, empat negara tersebut adalah Mali, Chad, Ivory Coast dan Ethiopia.

“Selain itu, harga haiwan ternakan seperti lembu dan kambing di sana adalah murah selaian bekalan yang banyak dan mencukupi dengan berat bersih seekor lembu dalam purata 80 kilogram (kg).

“Matlamat kembara ini adalah bagi melahirkan perasaan ukhuwah dan kemanusia merentasi negara, bangsa dan warna kulit.

“Pada masa sama, kami ingin memudahkan umat lslam di Malaysia melaksanakan ibadah korban dengan harga berpatutan iaitu hanya RM350 untuk satu bahagian lembu selain kambing adalah RM800 seekor dan unta berharga RM500 untuk satu bahagian,” katanya pada sidang media Kembara Qurban Afrika 2019 di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Nadisihat, Shah Mustafa dan Ikon merangkap Ketua Penyelarasan Program yang juga selebriti program Imam Muda, Ammar.

8J0A2304
Azlina Abdul Aziz dan Imam Muda Ammar.

Azlina menambah, semua peserta kembara yang terlibat akan menerima sijil dalam tempoh 30 hari selepas Hari Raya Aidiladha bulan depan.

Jelas beliau, tarikh tutup penyertaan Kembara Qurban Afrika itu pada akhir Julai ini namun pihaknya sedia memberi pertimbangan selepas tarikh tersebut.

“Sementara itu, hukum ibadah korban mengikut mazhab Syafie adalah sunat muakkad dan makruh tidak dilaksanakan jika mampu.

“Ibadah korban harus dipindahkah ke negara yang terdapat ramai orang yang lebih memerlukan. Maka boleh disimpulkan, adalah harus dan sah hukumnya melaksanakannya secara wakil ke luar negara tetapi terbaik dan tiada khilaf di tempat sendiri,” katanya.

Bagi yang berminat menyertai program Kembara Qurban Afrika 2019, mereka boleh menghubungi talian 014-2345993 atau 03-42653012 atau layari Facebook:  Kembara Qurban Afrika.

Sementara itu, Nadisihat yang tubuhkan pada 2014 telah terlibat dengan pelbagai program berbentuk rekreasi dan kerohanian dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan cergas di kalangan masyarakat negara ini. – MalaysiaGazete