Dewan Rakyat
Pengerusi Kaukus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen bersama Ahli-Ahli Jawatankuasa Kaukus Parlimen di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen dijangka bakal diusulkan di Dewan Rakyat pada sesi akan datang.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa ini draf tersebut perlu mendapat kelulusan kabinet.

“Kalau ikut semangat dalam Pakatan Harapan (PH), kita harus meneruskannya (Akta Perkhidmatan Parlimen) dan ia memerlukan persetujuan dasar oleh kabinet dan tindakan di pejabat undang-undang termasuk penggubal undang-undang (Parliamentary Draftsman).

“Ia sepatutnya berfungsi dari Parlimen supaya ada hubungan terus dengan anggota Parlimen atau Jawatankuasa Terpilih berkaitan.

“Perkara ini kita baru kemukakan dan kalau boleh kita mahu ia dipercepatkan,” katanya selepas mempengerusikan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

PH sebelum ini berjanji agar Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada tahun 1992 dikembalikan dalam usaha mempertingkatkan kuasa autonomi Parlimen.

Ini disebabkan, akta itu penting kerana menjadi asas kepada agenda reformasi Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang menggariskan pengasingan kuasa antara Parlimen dan bidang kuasa lain.

Melalui akta itu juga, aspek kewangan Parlimen dapat diurus sendiri secara bebas kerana Parlimen mengetahui kepentingan perbelanjaan yang diperlukan.

Sekiranya akta berkenaan diperkenalkan ia memberi asas kepada pengasingan kuasa yang baik seperti yang pernah diamalkan dahulu.- MalaysiaGazette