Agensi keselamatan Malaysia, khususnya Polis Diraja Malaysia, memantau rapat situasi semasa selepas Jepun mengeluarkan amaran kepada warganya termasuk di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Malaysia menyatakan bantahan keras terhadap tindakan Amerika Syarikat meletakkan Malaysia dalam Indikator “K” seperti yang dinyatakan dalam nasihat perjalanan dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, 9 April lalu.

Wisma Putra dalam satu kenyataannya hari ini menggesa Amerika Syarikat supaya mengeluarkan Malaysia daripada senarai tersebut.

Kementerian itu juga akan memanggil Duta Amerika Syarikat di Malaysia untuk memberi penjelasan berhubung nasihat perjalanan terbaharu itu.

“Tindakan tersebut diambil berikutan kebimbangan kerajaan Amerika Syarikat terhadap potensi penculikan atau insiden tebusan di beberapa kawasan tertentu di wilayah timur Sabah.

“Nasihat perjalanan itu tidak mencerminkan realiti sebenar di kawasan berkenaan kerana wilayah timur Sabah masih kekal selamat dan terkawal kepada pelancong,” katanya.

Menurut Wisma Putra, angka ketibaan pelancong di Sabah meningkat kepada 5.5 peratus, mencecah 3.87 juta pengunjung tahun lalu.

Insiden penculikan juga menurun dengan ketara dan menghampiri paras sifar.

Tambahan pula, kawasan timur Sabah adalah lokasi tarikan penyelam bertaraf dunia dan kejayaan itu adalah hasil langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan Malaysia seperti meningkatkan rondaan, kerjasama keselamatan erat dengan negara-negara jiran dan pengaturgerakan strategik aset-aset keselamatan.

“Berdasarkan fakta-fakta ini, Malaysia menggesa Amerika Syarikat supaya lebih objektif dalam penilaiannya. Kami menggesa Amerika Syarikat segera mengeluarkan Malaysia daripada senarai ‘K’ itu,” katanya.

Pada 9 April lalu, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah memperkenalkan satu petunjuk risiko terbaharu bagi Nasihat Perjalanan umumnya untuk memudahkan kerajaan berhubung dengan rakyatnya mengenai risiko penculikan dan tebusan oleh penjenayah dan pengganas seluruh dunia.

Terdapat 35 negara diletakkan di dalam senarai tersebut antaranya Afghanistan, Filipina, Somalia dan Turki.- MalaysiaGazette