Datuk Darell Leiking.
Darell Leiking

ALOR SETAR – Wujud elemen tertentu yang memaparkan Malaysia sebagai bukan destinasi pilihan pelabur susulan laporan negatif mengenai negara ini, termasuk dakwaan bahawa dana global lebih memilih pasaran negara lain berbanding Malaysia.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata, di sebalik laporan negatif sedemikian, hakikatnya masih ramai pelabur yang terus memilih untuk datang melabur ke negara ini.

“Kita menganggapnya (tuduhan itu) sebagai cabaran…Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) juga sentiasa menasihati agar jangan melawan, sebaliknya buktikan apa yang kita mampu lakukan.

“Apabila kita membuat perkara yang betul dan tepat, sudah pasti akan ada pihak yang mengkritik kerana mereka sebenarnya tahu bahawa kita boleh mencatat kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Darell mengulas laporan media kewangan Bloomberg semalam yang mendakwa pihak dana asing lebih memilih negara lain berbanding Malaysia atas alasan gagal melihat pembaharuan yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Laporan itu turut mendakwa pasaran saham Malaysia menyaksikan aliran keluar dana mencecah paras rekod sejak 12 bulan lepas, kecuali dua bulan dalam tempoh itu manakala ringgit lebih ketinggalan berbanding mata wang lain rantau ini.

Mengulas selanjutnya, Darell berkata bagi Malaysia misalnya, negara ini dipimpin oleh seorang perdana menteri yang mampu membimbing kalangan anggota Kabinetnya untuk memastikan mereka mengambil tindakan tepat selain mengelak kesilapan.

“Pada masa sama, kita turut menawarkan pelabur dengan persekitaran yang menarik serta pelbagai kemudahan yang dimiliki oleh setiap negeri,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast