Saifuddin Abdullah

PUTRAJAYA – Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah urusan kerajaan bukannya urusan parti Pakatan Harapan.

Itu jawapan Datuk Saifuddin Abdullah ketika ditanya mengenai kewajaran pelantikan bekas ahli majlis Pimpinan Pusat PKR itu yang didakwa tidak mematuhi Jawatankuasa Pemilihan Parlimen.

Setiausaha Agung PH itu berkata, pelantikan itu dibuat mengikut saluran yang memenuhi keperluan Perlembagaan.

“Dia (Latheefa) diangkat namanya dan diberi perkenan Yang di-Pertuan Agong, Latheefa juga melepaskan keanggotaannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Jadi pada saya ini bukan urusan parti tapi urusan kerajaan kerana dia sudah pun meletakkan jawatan dalam parti,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Kediama Rasmi Seri Perdana Putrajaya di sini dari 10 pagi hingga 4.30 petang ini.

Tambah Menteri Luar itu lagi, bekas Pengarah Lawyer For Liberty itu memenuhi segala syarat utama seperti yang dimahukan kerajaan.

“Dia berjaya memberi nafas baharu untuk SPRM. Jadi pada saya ini biasa apabila ada sesuatu keputusan dibuat mungkin ada yang berpandangan berbeza.

“Bagi saya ia dibuat mengikut saluran yang tepat,” tegasnya.

Pelantikan Latheefa berkuatkuasa 1 Jun lalu dan diumumkan Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan media semalam.

Latheefah mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Mohd Shukri Abdull yang telah memohon untuk menamatkan kontrak awal setahun berbanding tamat pada Mei 2020.-MalaysiaGazette