Darell Leiking

KUALA LUMPUR – Malaysia optimis untuk mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih baik meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, kerajaan akan bekerja keras dan mencuba sedaya-upaya untuk mengelakkan impak daripada konflik global.

“Kementerian optimis dengan unjuran FDI memandangkan prestasi suku pertama yang membanggakan tetapi kami masih berhati-hati dengan sebarang impak daripada ketegangan geopolitik yang sedang berlaku sekarang,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Laporan MITI 2018 dan Laporan Produktiviti 2018/2019.

Bagaimanapun dari segi sektor pengeluaran dan perkhidmatan yang menjadi tunjang ekonomi negara, beliau menjangkakan sektor berkenaan akan tumbuh lebih perlahan.

MITI mengunjurkan sektor pengilangan mencatatkan pertumbuhan 4.8 peratus manakala sektor perkhidmatan dijangka berkembang 5.7 peratus tahun ini berbanding masing-masing lima peratus dan 6.8 peratus yang direkodkan tahun lalu.

Ini menurut beliau adalah disebabkan peningkatan perdagangan di antara Amerika Syarikat-China.

“Bukan Malaysia sahaja yang terkena tempiasnya tetapi ia turut dirasai oleh semua negara.

“Namun sebagai sebuah negara pengeluaran, sudah pasti eksport kita turut terjejas.

“Tetapi dalam masa yang sama, kita berjaya menguruskan cabaran tersebut dengan baik dan walaupun angka pertumbuhan tidak setinggi tahun lepas, eksport dan tempahan masih konsisten,” katanya lagi.

Tambah Darell, Malaysia juga sedang dalam peralihan industri yang berteraskan buruh kepada industri yang berintensifkan teknologi dan pengetahuan bagi meningkatkan produktiviti. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast