KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) kesal terhadap pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan & Pembangunan Belia 2017 yang merupakan pindaan kepada akta sama (Akta 668) yang dikuatkuasakan mulai 2007 lalu.

Pindaan had umur belia yang ditetapkan terus pada 30 tahun ternyata bercanggah dengan kenyataan yang dibuat beberapa kali oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bahawa transisi had umur akan dijalankan secara berperingkat-peringkat mulai umur 35 tahun terlebih dahulu.

Ini termasuk dengan pengumuman rasmi yang dilakukan beliau ketika sambutan Hari Belia Negara 2019 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 15 Mei 2019 lalu, yang menegaskan transisi had umur kepada 35 tahun dahulu.

Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, berdasarkan fakta ini, maka pengumuman yang dibuat ketika proses bacaan RUU telah dibuat tanpa rujukan, perundingan serta perbincangan yang muktamad dan tuntas dengan badan-badan gabungan belia khususnya yang bernaung di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM), yang menggerakkan pembangunan generasi muda di akar umbi semenjak sekian lama.

“Seharusnya suara para aktivis dan badan-badan gabungan belia dihormati untuk dipertimbangkan sejajar dengan semangat inklusif Malaysia Baharu yang mendaulatkan suara rakyat.

“Banyak aspek dalam aktivisme belia serta generasi belia yang sedang dijalankan perlu ditimbangkan seperti membabitkan ruang untuk aktivis atau pekerja belia terus menyumbang di samping pertubuhan belia memantapkan generasi kepimpinan belia khususnya sekitar 35-30-an.

“Perubahan drastik yang dilakukan dalam pindaan RUU 668 hanya akan menjejaskan ekosistem pembangunan kepimpinan dan aktivis belia sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, ABIM yakin pendekatan menang-menang boleh dicapai sekiranya pihak Menteri Belia dan Sukan telus dan terbuka untuk berbincang dengan semua pemegang taruh (stake holder) yang terlibat dalam aktivisme belia.

Pendekatan “government knows best” khususnya dalam memastikan pembangunan belia berjalan dengan baik telahpun berakhir.

Menurutnya, paling menggusarkan sekiranya ada tindakan yang seolah-olah dilihat mempermainkan generasi muda sebagai bidak-bidak untuk menggerakkan percaturan politik pihak tertentu.

“Selain itu, seperti yang kita sedia maklum, parti politik berdaftar bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan tidak terikat dengan Akta 668.

“Untuk tujuan ketelusan dan tidak berunsur politik, ABIM menyeru kepada parti politik untuk meminda terlebih dahulu had umur sayap pemuda parti masing-masing kepada umur 30 tahun, sebelum RUU pindaan terhadap akta sedia ada dibuat. Ini termasuk meminda dengan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) yang menyentuh sayap pemuda parti politik supaya mengikut semua lunas dasar belia yang digariskan.

” Hal ini penting, sebagai jaminan pimpinan pemuda parti politik sendiri akan bersama dengan dasar belia yang baharu kelak.

“Semangat zaman generasi muda serta para aktivis belia perlu dihormati. Kita khuatir pendekatan ‘top down’ yang cuba diamalkan menerusi RUU 668 secara gopoh akan menghentikan proses perkembangan generasi muda yang sedang dijalankan untuk masa depan negara ini,” ujar Muhammad Faisal. – MalaysiaGazette