Nga Kor Ming.
Nga Kor Ming.

KUALA LUMPUR – Nga Kor Ming mempertahankan tindakan menambah hukuman menggantung Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada dua hari kepada empat hari di Dewan Rakyat pagi ini sebagai wajar dan konsisten.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu berkata, beliau terpaksa menggunakan perintah tetap Mesyuarat Dewan Perkara 44 (2) ke atas Ahli Parlimen BN Pasir Salak itu kerana sengaja berkelakuan tidak senonoh ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung.

“Berkenaan dengan isu pagi tadi, amat jelas sekali di mana Pasir Salak (Tajuddin) memang sengaja berkelakuan tidak senonoh dalam sidang Dewan Rakyat.

“Saya berasa amat kesal dengan sikap sedemikian kerana ruang yang secukupnya telah diberikan beliau, beliau memilih untuk tidak bertannya, sebaliknya melempar tuduhan terhadap menteri. Beliau sebagai bekas timbalan menteri yang selalu jawab soalan bagi pihak menteri, ini adalah amalan yang tepati aturan mesyuarat.

“Tidak ada peraturan yang melarang timbalan menteri daripada jawab bagi pihak menteri. Oleh itu beliau cari isu yang sedemikian, bagaikan nak cari tulang dalam telur tetapi saya berikan peluang untuk menjelaskan, peluang untuk bertanya, sebaliknya bersikap biadap dan tak senonoh,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.

Mengulas lanjut Kor Ming berkata, ketika beliau meminta Ahli Parlimen UMNO itu duduk, Tajuddin didakwa enggan berbuat demikian.

Menurutnya, ketika diberi peluang kedua mengemukakan soalan tambahan, Tajuddin didakwa masih bersikap degil sehingga memaksa dirinya menjalankan tugas menjaga imej dewan mulia.

“Ekoran itu selaras dengan Perintah Tetap 44 (2) saya mengarahkan dia untuk keluar selama dua hari, tetapi apabila saya minta bentara jalankan tugas, selepas enam-tujuh kali, Pasir Salak masih lagi enggan, malahan buat tuduhan speaker bodoh dan sombong.

“Saya rasa tiada pihak yang dapat terima sikap demikian dari wakil rakyat, yang bukan untuk datang jalankan amanah sebagai seorang YB, sebaliknya datang ke sini dan timbulkan kacau bilau.

“Oleh itu saya terpaksa tambahkan hukuman daripada dua hari kepada empat hari dan beliau tidak boleh masuk ke Dewan Rakyat sampai Selasa minggu depan. Ini peringatan kepada seluruh anggota dewan,” katanya.

Beliau juga mengajak semua anggota dewan Parlimen supaya menjalankan tugas dengan amanah dan berhemah.

“Kita boleh bertikam lidah tetapi perlulah dengan penuh berhemah, bukannya kurang ajar dan ia suatu yang wajib dilarang sama sekali,” katanya lagi.

Tambah beliau penguatkuasaan larangan itu menunjukkan Tajuddin tidak membaca dengan betul Peraturan Mesyuarat 44, 43 yang jelas berkata keputusan Speaker adalah muktamad.

“Bila Speaker jemput keluar, beliau (Tajuddin) wajib keluar serta merta.
Perkataan yang digunakan undang-undang serta merta.

“Saya berikan dia lebih kurang 15 minit, tapi kalau nak keluar Dewan, 10 saat cukup dah, tak perlu 15 minit.motif dan nawaitu jelas untuk bersikap kurang ajar dan kurang senonoh.

“Nak jadi hero tapi sikapnya bukan hero tetapi zero dan rakyat Pasir Salak wajar mempertimbangkan semula sama ada nak pilih wakil rakyat sedemikian jika mahu memastikan Parlimen berkelas dunia,” jelasnya lagi.

Kor Ming juga menekankan setiap wakil rakyat wajar bersikap kematangan berpolitik dan tidak menunjukkan sikap seperti Tajuddin sambil menyifatkannya sebagai contoh yang buruk.

Lagipun katanya, tindakan beliau mengendalikan senario itu sangat neutral tanpa memihak mana mana pihak dalam menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Speaker.

“Sekiranya ada MP bersikap demikian, saya tidak akan teragak-agak menjalankan tugas saya apabila jubah ada atas bahu saya.

“Yang penting saya ikut undang-undang dan peraturan mesyuarat, samada dari parti mana bukannya pertimbangan seorang speaker..saya bersyukur ahli Parlimen PH berkelakuan baik dan tidak seperti Pasir Salak, ditegur, diberi peluang, dijemput (keluar) masih lagi berdegil,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette