Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Presiden MC, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata MCA mempunyai pendekatan tersendiri dalam menangani isu khat yang dihadapi kerajaan Pakatan Harapan (PH), hari ini.

Sekiranya parti itu berkuasa semua, pihaknya mempunyai kaedah profesional untuk menangani penolakan kaum Cina dan India terhadap pelaksanaan khat Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Saya bukan macam Pakatan Harapan yang menjanjikan bulan dan bintang. Sekiranya MCA sebahagian daripada kerajaan semula, kita tahu sistem itu dan tahu bagaimana nak berdepan dengan isu ini secara profesional.

“Itu sahaja yang boleh saya katanya. Saya tidak boleh kata saya masih menteri, saya tidak gila kuasa,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata sekarang terserah kepada gabungan PH untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“PH dulu kata nak mansuhkan tol, saya tidak akan buat begitu. Mereka yang pegang tampuk kerajaan lah fikir. Sekarang giliran PH, kamu yang putuskan. Jangan letakkan kesalahan daripada kerajaan terdahulu,” katanya lagi.

Ka Siong merujuk kepada perbezaan pendapatan antara Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Maszlee sebelum ini mengumumkan guru diberi kuasa untuk menentukan bagaimana silibus itu diajar kepada murid-murid di SJKC dan SJKT.

Guan Eng pula menjelaskan keputusan Kabinet pada Rabu adalah ia tidak wajib tetapi pilihan dan tidak diuji dalam peperiksaan.

“Kita tidak boleh terima penjelasan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Ia menyebabkan lebih banyak pihak keliru.

“Bila Dr Maszlee keluarkan kenyataan ia sangat berbeza dengan apa yang dikatakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Guan Eng kata keputusan Kabinet adalah tidak wajib tapi cuma pilihan. Tapi kita tidak lihat perkara ini muncul di kenyataan media Kementerian Pendidikan.

“Apa yang Maszlee dan Guan Eng buat selama ini? Kamu berdua mesti beri maklumat yang tepat kepada Perdana Menteri,” kata Ka Siong mengenai kenyataan kedua-dua menteri berkenaan. -MalaysiaGazette