KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali secara peribadi tidak bersetuju perkhidmatan teksi motosikal yang dikenali gojek.
Katanya, sekalipun kebaikannya membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda dan menambah pilihan kepada pengguna namun keburukannya lebih patut dihindarkan.
“Antara keburukan perkhidmatan gojek ialah mendedahkan kepada pergaulan yang tidak patuh syariah antara penunggang dan pembonceng melibatkan jantina berlainan.
“Meningkatkan kadar kemalangan maut melibatkan motosikal, menyebabkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam tidak diberi perhatian lebih baik dan menambah faktor pencemaran udara,” katanya dalam kenyataan kepada hari ini.
Khairuddin berkata, perkhidmatan itu juga mendedahkan berlaku insiden gangguan seksual sama ada kepada penunggang dan pembonceng.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan mengadakan kaji selidik di media sosial mengenai cadangan memperkenalkan gojek di Malaysia yang tujuannya membantu golongan muda menceburi perniagaan.
Malah, satu pertemuan telah diadakan melibatkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Syed Saddiq, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan pengasas Go-Jek Indonesia, Nadiem Makarim.
Anthony turut dilaporkan berkata, beliau secara prinsipnya tidak menolak cadangan itu, tetapimengakui bimbang soal keselamatan. – MalaysiaGazette
















