KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak perlu berasa malu atau takut kehilangan sokongan jika bersikap telus menerima laporan situasi kadar kemiskinan Malaysia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Presiden Penaja Parti Putra Malaysia, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, apapun bentuk kajian dibuat badan dunia itu tidak seharusnya dipolitikkan kerana angka dan peratusan dikemukakan adalah dari penyelidik berintegriti.
Sebarang laporan oleh PBB mengenai isu kemiskinan di Malaysia wajar didiskusikan oleh semua pihak termasuk Fakulti Ekonomi Univesiti Tempatan baik IPTA atau IPTS.
“Kita tetap mempertahankan keperluan dasar afirmatif untuk memperkasakan ekonomi bumiputera supaya kek ekonomi negara diagih secara adil mengikut kaum, bukan setakat dasar keperluan tanpa mengambil kira kaum bagi golongan miskin.
“Membasmi kemiskinan tanpa mengambil kira kaum memang diterima baik tapi kek ekonomi negara mesti adil untuk pribumi atau kaum asal.
“Ini adalah lanjutan berterusan untuk proses penyusunan semula masyarakat sepertimana matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang lahir selepas 13 Mei 1969,” katanya dalam kenyataan kepada hari ini.
Dalam satu laporan yang didedahkan pada Jumaat minggu lalu, Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Prof. Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada tahun 2016 tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.
Sebaliknya, kata beliau, kadar kemiskinan yang sebenar di Malaysia adalah kira-kira 15 peratus.
Mengulas lanjut, Dr. Ibrahim menjelaskan, mustahil masa 20 tahun bagi DEB untuk membetulkan keadaan yang tidak betul kerana negara ini telah dijajah lebih 500 tahun sejak Melaka dirampas Portugis, kemudian Belanda dan Inggeris.
Maka, katanya, dasar afirmatif mesti diteruskan untuk Bumiputera dan tidak lupa hak-hak keistimewaan Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak yang ditukar dengan kerakyatan kaum pendatang serta kemuliaan hati Raja-Raja Melayu yang bersetuju menyerah kuasa untuk menerima konsep demokrasi berparlimen.
Justeru, tegas beliau, tidak perlu bagi kerajaan khususnya Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mempertikaikan angka peratusan kemiskinan rakyat Malaysia yang dilapor pasukan Pelapor PBB itu.
“Laporan itu secara umumnya meletakkan Malaysia masih sama dengan negara lain dari segi peratus tahap kemiskinan rakyat, dan tidak perlulah beretorik politik, sebaliknya wajar bersikap profesional apabila berdepan dengan apa sahaja laporan ekonomi rakyat dan negara.
“Biro Ekonomi Parti Putra mendesak kerajaan memperhalusi butiran laporan Pelapor PBB secara terperinci bagi mengenal pasti tahap kemiskinan rakyat dari segi kaum.
“Kerajaan juga mesti mempunyai data tepat berkaitan tahap kemiskinan kaum bumiputra atau pribumi yang merupakan kaum asal majoriti rakyat Malaysia,” tegasnya.
Ibrahim berkata, tidak ada makna kemerdekaan bagi majoriti rakyat kaum asal kalau negara membangun dengan pencakar langit tetapi mereka hidup dalam kemiskinan dan mengemis di bumi sendiri.
Oleh itu, ujarnya, kajian dan koleksi data yang lebih tepat diperlukan secara telus dan laporan Pelapor PBB boleh digunakan sebagai asas.
“Laporan yang telus dan tepat boleh membantu kerajaan mengubal dasar yang betul dan berkesan terutama mengemukakan program afirmatif bagi mengatasi kemiskinan rakyat.
“Adalah sesuatu yang mendukacitakan golongan minoriti apabila bukan kaum asal menguasai kek ekonomi secara majoriti di negara membangun termasuk Malaysia.
“Sebab itu, sebelum ini berlaku rusuhan kaum asal ke atas kaum minoriti seperti pernah berlaku di Filipina, Indonesia, Afrika Selatan dan lain-lain tempat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, buku terbaik untuk kajian dan rujukan ialah buku bertajuk World On Fire yang ditulis Prof. Amy Chua dan kini pensyarah di Yale University Amerika. – MalaysiaGazette
















