KUALA LUMPUR – Pas mencadangkan agar satu kongres kebangsaan dianjurkan untuk meneliti dan merumus resolusi baru bagi memperincikan pelbagai perkara mengenai isu kemiskinan di Malaysia.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kongres itu mesti melibatkan semua pihak tanpa mengira pendirian politik supaya natijahnya lebih objektif.
Beliau berkata, isu kemiskinan mesti dilihat satu perkara yang signifikan, di samping memacu Malaysia ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
Katanya, kongres kebangsaan bertemakan kemiskinan itu dicadangkan berikutan percanggahan perspektif mengenai statistik kemiskinan yang dinyatakan oleh kerajaan dengan laporan disediakan Pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Prof. Philip Alston pada 23 Ogos lalu.
“Hal ini juga boleh diselarikan dengan pelbagai gesaan yang timbul sebelum ini mengenai semakan semula Paras Garis Kemiskinan dan dasar afirmatif yang telah dipraktikkan sebelum ini.
“Kita berpendapat isu kemiskinan mesti dijadikan fokus utama supaya jurang kaya miskin antara bandar dan luar bandar termasuk antara kaum dapat diperbaiki.
“Selain itu, ia turut melibatkan perubahan polisi, peruntukan skim bantuan atau subsidi dan juga pengagihan zakat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, jika pelbagai pihak boleh duduk berbincang bersama untuk menangani isu kemiskinan, majoriti rakyat akan beroleh manfaat. – MalaysiaGazette
















