KUALA LUMPUR – Pas dan UMNO masing-masing mengambil sikap berhati-hati dengan dakyah dimainkan musuh politiknya, DAP dan Pakatan Harapan (PH) menjelang tiba hari bersejarah 14 September ini.
Naib Presidennya, Idris Ahmad menegaskan, musuh kedua-dua parti itu pastinya tidak akan berdiam diri malah berusaha untuk mengagalkan kerjasama politik yang akan ditandatangani pada tarikh itu.
“Detik bersejarah parti Pas dan UMNO dalam mengukuhkan kerjasama politik menerusi Majlis Menandatangani Piagam Penyatuan Ummah yang kini persiapannya rancak berjalan hanya berbaki dua minggu sahaja lagi.
“Pada saat ini pelbagai serangan daripada DAP dan PH sedang hangat bermain di media sosial, yang bertujuan untuk menggagalkan usaha kerjasama ini,” katanya yang dipetik Harakahdaily hari ini.
Majlis bersejarah itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC< Kuala Lumpur selama dua hari dari 13 hingga 14 September ini.
Menurut Idris, serangan dari musuhnya itu masih tidak mampu merobohkan benteng kerjasama kedua-dua parti berkenaan.
Katanya, Pas dan UMNO kini terus mara ke hadapan tanpa menoleh ke belakang.
“Demi Islam, negara dan ummah, kita melupakan segalanya. Berani menongkah arus.
“Bahkan, ahli kedua-dua parti di peringkat bawah juga tidak sabar untuk menanti detik bersejarah itu,” katanya.
Beliau turut meminta semua pihak membuat persiapan mental dan fizikal bagi memeriahkan program gilang gemilang itu.
Dalam pada itu, katanya, program sepentas rancak berjalan setiap malam untuk mengukuhkan lagi kefahaman di peringkat akar umbi.
“Mereka yang benci kepada kerjasama ini cuba mengungkit kisah lama supaya pengikut kedua-dua parti memprotes.
“Setakat hari ini mereka masih gagal. Malah ahli yang dahulunya meragui dan sangsi tidak sabar menunggu tarikh 14 September ini.
“Apa yang menarik, ada beberapa aktivis profesional, dahulunya marah kepada Pas dalam PRU14 telah kembali menyokong dan minta mengisi borang Pas setelah keluar daripada parti itu tidak lama dahulu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli di peringkat kawasan mahupun cawangan menghadirkan diri ke PWTC pada 13 dan 14 September ini bagi melihat detik bersejarah dengan bendera Pas dan UMNO akan sama-sama berkibar. – MalaysiaGazette
















