Dr. Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Sebagai orang nombor dua dalam pentadbiran kerajaan Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Abdullah patut memberi jawapan lebih relevan jika negeri itu dikatakan antara ketiga termiskin selepas Sabah dan Sarawak.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu sebaliknya membuat kenyataan balas yang agak melucukan dan tidak boleh diterima oleh rakyat.

“Nik Mohd Amar mengatakan Kelantan tidak miskin kerana ada 65 penerbangan sehari di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

“Ilmu ekonomi dari mana kemiskinan diukur dengan jumlah penerbangan sehari?.

“Tahukah beliau, penumpang itu termasuk kakitangan kerajaan, profesional, ahli perniagaan dan pelbagai golongan rakyat yang tidak semestinya semua rakyat Kelantan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kelmarin, Nik Mohd Amar dilaporkan berkata, meskipun ramai rakyat Kelantan tidak mempunyai kerja tetap, tetapi mereka memiliki harta seperti tanah, kebun dan rumah sewa.

“Orang Kelantan ini kadang-kadang duit tak ada, tapi harta dia banyak. Dia ada tanah, kebun dan rumah sewa, orang tengok dia tidak ada duit berdaftar, tetapi dia ada pendapatan yang tak diisytihar,” kata Naib Presiden Pas itu.

Nik Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr. Mohd Radzi Md Jidin, yang memaklumkan Kelantan negeri ketiga termiskin selepas Sabah dan Sarawak.

Statistik dalam pengkalan data e-Kasih sehingga Jun lalu menunjukkan miskin tegar di Kelantan adalah seramai 6,218 orang, manakala golongan miskin seramai 31,217 orang.

Mengulas lanjut Dr. Ibrahim yang juga Presiden penaja Parti Putra Malaysia berkata, jika kerajaan negeri mengambil kira ukuran taraf hidup rakyat negeri itu dengan jumlah penerbangan, bagaimana pula bagi mereka yang tidak pernah menaiki kapal terbang.

Hujah itu, katanya secara sindir, mengatasi segala pakar ekonomi dunia termasuk dari University Harvard, Oxford, Stamford dan UNIKL.

“Janganlah mempersenda minda rakyat Kelantan yang ramai cerdik pandai.

“Kalau inilah hujah untuk menafi kemiskinan rakyat, buat apa ada kerajaan atau rakyat mengundi untuk pilih kerajaan. Inilah yang dikatakan ‘ulat dalam batu pun boleh hidup’,” katanya.

Mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa diadakan “kongres kemiskinan”, beliau berkata, kongres apa lagi dan berapa banyak konvensyen, seminar, meja bulat dan kajian dibuat oleh universiti, pelbagai institusi penyelidik termasuk kongres Bumiputera sudah diadakan.

“Berlori resolusi dihasilkan. Pas memerintah lebih 25 tahun sehingga kini dan sebelum ini 18 tahun, hendak kongres apa lagi? Pas tak nak anjur kongres nasib masyarakat Orang Asli di Ulu Kelantankah.

“Adakala bila baca kenyataan dari mereka yang sudah berkuasa, naik pening memikirkan. Bilakah mereka ini akan lebih kreatif dan inovatif dan sampai bila hendak beretorik.

“Reaksi ikhlas dari saya sebagai anak Kelantan jati, ialah saya kecewa dengan kemunduran rakyat dan negeri, walaupun Kelantan kaya dengan pelbagai sumber alam, budaya yang hebat, aneka makanan tersohor dan rakyat rajin serta ramai terpelajar, pantai dan sungai yang indah,” ujarnya.

Malangnya, kata beliau, masih ada pemimpin kerajaan dan parti pemerintah berfikir seperti otak dilutut dan bodoh tidak boleh diajar serta cerdik tidak boleh ditegur.

Katanya, jika demikian perangai dan sikap pemimpin kerajaan negeri, sudah menjadi nasib rakyat Kelantan mendapat pemimpin ibarat pahat dengan penukul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast