Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menjadi bakal perdana menteri yang tidak ada tempoh sehingga bila beliau akan memegang jawatan itu secara rasmi.

Aktivis politik yang juga ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau membuat andaian itu berdasarkan apa yang dilihatnya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad menunjukkan tidak akan berlaku penyerahan jawatan itu dalam masa terdekat ini.

Katanya, ketika parti gabungan Pakatan Harapan (PH) bersetuju memberi jawatan Perdana Menteri kepada Dr. Mahathir, tindakan itu ibarat meminjamkan sebuah kereta baharu kepadanya.

Bagaimanapun, bila dan bagaimana untuk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu memulangkan balik kereta berkenaan, belum nampak ada tanda-tanda beliau akan berbuat demikian.

“Mungkin ‘kereta’ itu akan dipakainya sehingga buruk, walaupun beliau berjanji akan memulangkan semula.

“Tetapi beliau tidak pernah menyatakan bila akan dipulangkan, walaupun pada awalnya berjanji untuk memakainya selama dua tahun,” katanya menerusi ciapan beliau di laman Twitternya hari ini.

Zaid yang merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata, berdasarkan perkembangan politik hari ini, Presiden PKR itu dilihat tidak selesa kerana jawatan Perdana Menteri yang ‘dipinjamkan’ kepada Dr. Mahathir sudah hampir tamat tempat.

Namun, katanya, Dr. Mahathir masih sayang untuk melepaskannya, walaupun setiap masa memberitahu akan memberikan jawatan itu kepada Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast