KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang disarankan supaya melupakan sahaja retorik Malaysia Baharu yang menjadi slogan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak diasaskan pada pemikiran politik sebenar.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau yakin penasihat DAP itu sendiri sedar dengan retorik berkenaan dan wajar jika beliau mahu meletakkan jawatan dan berundur dari politik.
Katanya, kewajaran itu berdasarkan tiada apa yang baharu mengenai Malaysia setelah kemenangan PH pada 9 Mei tahun lalu.
“Apa yang baharunya melainkan drama (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang terus berharap untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad? Maaf, setakat ini belum ada kekosongan jawatan.
“Apa yang baharunya melainkan dasar PH yang hanya menjenamakan semula program lama? Dahulu Lynas bakal menjadikan Malaysia beracun, sekarang ia diteruskan dengan seribu justifikasi.
“Apa yang baharunya dengan penipuan pemansuhan tol, penghapusan bayaran hutang PTPTN dan kos sara hidup yang tinggi,” soal beliau menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, sekolah di Sarawak pula diugut oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk tidak diberikan bantuan sehingga hutang kerajaan negeri lunas.
Tegas beliau, sepanjang satu tahun empat bulan PH memerintah, berjuta peluang pekerjaan dijanjikan sebelum ini hanya dijawab dengan memperkenalkan Go-Jek.
“Apa yang baharunya melainkan Menteri Pendidikan (Dr. Maszlee Malik) sehingga sekarang tidak boleh membuat keputusan sama ada UEC akan diiktiraf atau tidak biarpun itu adalah manifesto pilihan raya umum.
“Apa yang baharunya jika Kit Siang gagal meyakinkan masyarakat Cina dan India untuk menerima khat Jawi di sekolah vernacular, sedangkan mereka mendendangkan Malaysia yang lebih terbuka, tidak rasis dan tidak prejudis,” sindirnya.
Katanya, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Polis Negara, Pengerusi SPR, Ketua Pesuruhjaya SPAD, 13 pegawai penyelaras sukan negeri dan pelbagai lantikan ke institusi awam serta akademik semuanya dibuat tanpa melalui proses dan mekanisme dijanjikan.
Malah, hampir semua itu adalah lantikan politik dari kalangan parti dalam PH.
“Apa yang baharunya dengan retorik Perdana Menteri dan rakan Kit Siang mengenai kebanjiran pelabur China di Johor adalah satu penjajahan dan penjualan negara.
“Sedangkan, semua itu semakin digalakkan sehinggakan pembinaan rumah pun hendak diserahkan kepada kontraktor China.
“Apa yang baharunya dengan cerita hutang negara melambung, sedangkan kini kerajaan merancang menerbitkan pula Bon Samurai kedua biarpun setelah menambah hutang negara ke tahap yang sangat menggerunkan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini tidak ada perkara baharu diperkenal atau dilaksanakan oleh kerajaan PH mengenai taraf hidup rakyat di luar bandar seperti FELDA tidak bertambah baik, harga sawit terus merudum, kehidupan petani dan pesawah semakin sempit.
Semua itu petunjuk jelas Malaysia Baharu adalah gimik politik yang tidak boleh dipertahankan.
Mohamed Khaled juga mengingatkan Kit Siang bahawa DAP selalu menggunakan alasan suhu perkauman di Malaysia semakin meningkat kerana pihak tertentu menggunakan sentimen itu.
Katanya, siapakah mereka yang dimaksudkan Kit Siang, adakah UMNO-Pas atau (media) Malaysiakini atau akhbar Cina? Atau beliau sendiri, Guan Eng dan parti DAP?
Kata beliau, di mana-mana sudut negara ini, tiada orang Melayu menzalimi bangsa Cina dan tiada orang Cina menzalimi bangsa Melayu atau India.
Keadaan di lapangan sangat harmoni, dengan kebanyakan rakyat di bawah tidak melihat ras sebagai masalah harian dalam kehidupan Malaysia yang majmuk.
“Orang Melayu terus ke kedai Cina, menggunakan kontraktor Cina dan setia berurusan dan menyimpan di bank milik Cina. Orang Cina terus mengunjungi kedai nasi lemak orang Melayu, sarapan roti canai di kedai India dan menaiki grab yang dipandu orang Melayu.
“Realitinya, kehidupan Malaysia muhibah. Hanya Kit Siang, Guan Eng dan rakan DAP sahaja yang terus meniupkan rasa khuatir seolah suhu perkauman semakin meningkat, hanya kerana orang Melayu tidak mendukung PH. – MalaysiaGazette
















