KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Nasional kecewa dengan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mempertikaikan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperkenalkan sarapan percuma kepada murid.
Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, sikap berkira-kira pemimpin MCA itu dianggap sebagai tidak sensitif dan gagal memahami situasi sebenar golongan murid di seluruh negara.
Beliau yang juga ADUN Permatang Pasir menjelaskan, keputusan kerajaan itu adalah tepat kerana akan mempersiapkan semua murid secara mental dan fizikal untuk menghadapi proses pembelajaran.
Bukan itu sahaja, katanya, langkah berkenaan juga akan membantu murid menjalani gaya hidup sihat tanpa mengira status sosio-ekonomi mereka.
Faiz berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menjelaskan kos sarapan percuma itu akan ditampung menggunakan cukai gula atau “soda tax” yang telah diperkenalkan atas minuman bergula bermula 1 Jun lalu.
Di samping itu, kos sarapan percuma itu dapat dikurangkan apabila kerajaan memberikan tender makanan di kantin sekolah secara proses terbuka dan kompetitif.
“Bukan itu sahaja, menerusi pengurusan perbelanjaan yang lebih teliti dan pengurangan ketirisan, hasil penjimatan ini dapat digunakan untuk membayar kos sarapan percuma.
“Langkah memberi sarapan percuma ini penting untuk pembangunan modal insan kerana dilaporkan ramai murid di Malaysia hadir ke sekolah tanpa bersarapan pagi.
“Berdasarkan kajian “MyBreakfast Study” oleh Persatuan Nutrisi Malaysia, sebanyak 20.1 peratus atau satu daripada lima murid tidak bersarapan atau hanya bersarapan sekali-sekala,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Faiz menjelaskan, kajian juga menunjukkan hampir 18 peratus murid dari keluarga berpendapatan tinggi tidak bersarapan atau hanya bersarapan sekali-sekala.
Situasi itu lebih teruk dalam kalangan murid berpendapatan rendah yang menurut kajian itu berada pada pada kadar 28.3 peratus.
“Setiap RM1 yang dibelanjakan oleh kerajaan PH dalam program ini adalah pelaburan untuk generasi masa depan.
“Ini kerana laporan UNICEF menunjukkan 17.7 peratus kanak-kanak dan remaja di Malaysia berusia lima hingga 19 tahun mengalami masalah pertumbuhan terbantut dan salah satu sebab utama adalah kekurangan nutrisi.
“Program sarapan percuma merupakan langkah kerajaan menuju ke arah aspirasi rakyat yang mahu melihat perubahan berlaku dalam negara dan ia sejajar dengan konsep kemakmuran bersama kerana kemajuan negara tidak dapat dicapai tanpa modal insan yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata, membina modal insan berkualiti sejak dari zaman persekolahan rendah adalah langkah awal pembinaan sebuah negara maju yang seimbang. – MalaysiaGazette
















