BANGKOK –  Malaysia melihat kemajuan positif ke arah memuktamadkan perjanjian perdagangan terbesar di dunia – Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menjelang akhir tahun ini walaupun terdapat beberapa lagi isu yang perlu diselesaikan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata, rundingan pusingan ke-27 rundingan RCEP di China bulan lepas mencatat kemajuan yang baik dengan banyak isu berjaya diselesaikan.

“Ada beberapa isu yang belum selesai. Arahan kepada perunding perdagangan adalah untuk memuktamadkan dan menyelesaikan isu-isu pada mesyuarat seterusnya di Da Nang, Vietnam dari 19 hingga 27 Sept.

“Semua negara terlibat (dalam rundingan) akan melihat gambaran yang lebih besar untuk arah tuju masa depan ekonomi pasaran 3.4 bilion yang kita ada,” katanya kepada Bernama di sini.

Darell dan rakan sejawatannya dari negara anggota ASEAN dan enam rakan dialog, berkumpul di Bangkok semalam untuk Mesyuarat Menteri-Menteri RCEP ke-7 bagi mengkaji perkembangan dalam rundingan RCEP sejak kali terakhir bertemu di China daei 2 hingga 3 Ogos.

RCEP ialah perjanjian perdagangan pelbagai hala antara 10 anggota ASEAN – Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam – dan enam rakan FTAnya iaitu, China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan India.

Sumber yang dekat dengan perunding perdagangan Malaysia berkata rundingan berterusan seperti RCEP di Zhengzhou, China bulan lepas mencatat kemajuan yang baik kerana berjaya menyelesaikan beberapa isu, termasuk memudahkan klausa Penyelarasan Pertikaian Negara Pelabur (ISDS) bagi pada Standard Perniagaan.

“Kemajuan rundingan adalah lebih baik berbanding tujuh tahun lepas,” kata sumber itu

Ekoran tekanan bagi memuktamadkan rundingan itu tahun ini, Darell menegaskan bahawa kepentingan dan kedaulatan negara merupakan keutamaan dalam menyelesaikan perjanjian itu.

“Apabila kita melaksanakan blok ekonomi baharu, kita perlu mendengar kehendak rakyat dan kepentingan kita … Kita perlu pastikan semua perangkap dielak,” katanya.

Memetik contoh, beliau berkata Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang ditandatangan sebelum Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada Mei tahun lepas, tidak sesuai dengan dasar semasa.

Darell berkata beberapa bab dan klausa yang telah tutup sebelum kerajaan PH, tidak boleh dibuka semula (perubahan).

“Baik atau buruk, kita perlu menerima bab tersebut kerana ia telah dirundingkan sebelum kerajaan PH mengambil alih. Bagaimanapun, kami akan menggunakan dasar kami dalam bab-bab yang selebihnya. Kami tidak akan berkompromi ke atas kedaulatan negara dalam memuktamadkan kesepakatan perdagangan,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama selepas Mesyuarat Menteri-Menteri RCEP ke-7 semalam, mereka mengesahkan persetujuan bersama untuk memuktamadkan rundingan.

“Para menteri yang memberi komitmen untuk menyediakan sumber dan mandat yang diperlukan kepada perunding untuk menyelesaikan rundingan. Para menteri juga secara kolektif mrminta perunding di semua peringkat supaya merealisasikan komitmen ini dalam bentuk tindakan yang membina dan membawa hasil yang positif,” katanya.

Para menteri juga mengakui bahawa rundingan telah mencapai kejayaan penting menjelang tarikh akhir bagi memuktamadkan rundingan itu.

Walaupun berhadapan banyak cabaran dalam rundingan, negara peserta RCEP sedang berusaha menangani isu-isu tertunggak yang penting untuk menyelesaikan perjanjian itu tahun ini seperti yang diamanatkan oleh para pemimpin.

“Para menteri bersetuju bahawa negara peserta tidak boleh kehilangan visi jangka panjang untuk memperkukuh dan memperluas rantai nilai dalam RCEP.

“Para menteri menegaskan bahawa kejayaan memuktamadkan RCEP akan menyediakan kestabilan dan kepastian yang sangat diperlukan oleh pasaran, yang seterusnya akan meningkatkan perdagangan dan pelaburan di rantau ini.

Rundingan RCEP dilancarkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-21 pada November 2012 di Phnom Penh, Kemboja.

Perjanjian perdagangan itu melibatkan 3.4 bilion penduduk dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai US$49.5 trilion, atau kira-kira 39 peratus daripada dari KDNK dunia,

Perjanjian itu dijangka ditandatangani tahun depan jika rundingan itu dapat dimuktamadkan pada mesyuarat yang dijadualkan pada November di Bangkok.

Laporan menyebut bahawa kira-kira 80 peratus daripada perjanjian itu sudah lengkap, dengan rundingan kini membabitkan kandungan dalam perkhidmatan kewangan, telekomunikasi dan profesional.

Telah tahun perjanjian perdagangan itu belum dimeterai, dengan India dilihat sebagai penghalang terbesar dalam memuktamadkan RCEP kerana New Delhi didakwa menentang pembukaan pasarannya untuk barangan dan perkhidmatan bebas tarif.

New Delhi bagaimanapun masih teragak-agak untuk keluar daripada pakatan RCEP. – MalaysiaGazette