Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan tuduhan seorang anggota Exco Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang beliau menjual projek diperolehinya dari bekas Perdana Menteri itu.

Isham Jalil berkata, fitnah yang dilemparkan pemimpin PPBM terhadapnya sangat berat dan mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Exco terbabit.

“Semalam saya telah dimaklumkan bahawa seorang Exco dari parti Bersatu telah membuat kenyataan terbuka bersifat fitnah dan tohmahan terhadap saya dalam artikel yang ditulisnya.

“Antara perenggan dalam artikelnya berbunyi: Ini sebenarnya paku kepada orang politik terutama seperti bos Isham. Dapat projek jual projek. Dapat AP kereta tidak jual kereta. Tapi jual AP.

“Sudah pasti Isham lebih kaya dengan 1MDB dan projek yang diperolehi daripada DS (Datuk Seri) Najib”,” tulis Isham dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Menurut Isham, Exco PPBM itu juga menulis kononnya, beliau pegawai khas kanan Najib yang juga mengurus media bekas Perdana Menteri itu dan bertindak sebagai penasihat menerima gaji dalam lingkungan RM70,000 hingga  RM200,000 sebulan.

“Zaman Najib yang kaya siapa? Nama Jho Low sahaja disebut. Apa istimewa sangat Cina ini? Isham lebih mengetahui”,” tulis Exco itu lagi.

Menurut Isham, kenyataan itu tidak benar dan berunsur fitnah kerana sepanjang berkhidmat selama hampir 20 tahun dalam kerajaan dan syarikat berkenaan kerajaan, beliau tidak pernah mendapat apa-apa AP dan kontrak kerajaan.

Katanya, apatah lagi mendapat projek atau kontrak dari Najib dan beliau sama sekali tidak terlibat dengan urusan 1MDB atau menjadi kaya olehnya seperti yang ditohmah oleh Exco berkenaan.

Ujarnya, sesiapa yang mengenalinya lama atau pernah bekerja bersamanya akan tahu bahawa sejak beliau memulakan karier dalam kerajaan dan syarikat berkenaan kerajaan 20 tahun lalu sehingga kini, tidak pernah terlibat dalam rasuah.

“Walaupun saya selalu ditemuramah oleh media, tugas saya tidak ada kena mengena dengan media. Saya bukan pegawai media Najib semasa dalam kerajaan mahupun sekarang.

“Jawatan terakhir saya dalam kerajaan ialah Pengarah Gred JUSA B di Pejabat Perdana Menteri dan sesiapa yang pernah bekerja dalam kerajaan tahu gaji JUSA B tidak sampai RM70,000.

“Seperkara lagi, walaupun Jho Low adalah graduan Wharton sama seperti saya, saya tidak pernah kenal, berjumpa atau berhubung dengannya. Oleh itu, untuk mengaitkan saya dengan Jho Low seperti disebut oleh Exco PPBM itu ternyata suatu tohmahan fitnah yang berniat jahat,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, dalam politik, perbezaan pendapat adalah perkara biasa, namun fitnah tidak boleh dibiarkan begitu sahaja sebab jika dibiarkan akan membuat politik di Malaysia menjadi semakin kotor lantas memberikan kesan buruk kepada demokrasi.

Antara sebab Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya lalu adalah kerana tipu daya dan fitnah.

“Jika kita biarkan perkara ini berleluasa, orang yang kuat menipu dan memfitnah akan diangkat menjadi kerajaan serta pemimpin negara. Ini tidak boleh diterima.

“Oleh itu, saya telah dinasihatkan oleh rakan supaya mengambil tindakan ke atas pemfitnah ini dan saya telah dimaklumkan bahawa anggota Exco berkenaan kini berada di luar negeri.

“Oleh itu, saya telah menyerahkan hal ini kepada peguam saya untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap beliau,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast