Pemandangan sekitar Putrajaya yang terjejas akibat jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 104 API yang dipaparkan di laman sesawang apims.doe.gov.my sekitar jam 4 petang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2019.

JAKARTA – Malaysia tidak menuding jari kepada Indonesia berikutan masalah jerebu, sebaliknya menawarkan bantuan menangani kebakaran hutan di beberapa wilayah Indonesia ketika ini.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Zainal Abidin Bakar berkata surat rasmi kerajaan Malaysia menerusi Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin, berhubung tawaran itu telah disampaikan kepada pemerintah Indonesia, baru- baru ini.

“Tidak ada surat protes, tapi (surat) keinginan Malaysia untuk menangani jerebu (membantu memadam kebakaran hutan dan kawasan pertanian di Indonesia), ” katanya kepada pemberita selepas Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Malaysia 2019, malam tadi.

Zainal Abidin Bakar

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar seperti dilaporkan media tempatan yang kononnya Malaysia telah menghantar surat bantahan, menuduh Indonesia menjadi punca berlakunya jerebu di Malaysia.

Siti Nurbaya juga dilaporkan akan menulis surat kepada Zainal Abidin bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Menurut Siti Nurbaya, berdasarkan laporan Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, asap atau jerebu akibat kebakaran di Kalimantan dikesan bergerak ke Malaysia (Sarawak) hanya dalam tempoh satu jam sahaja pada Ahad lepas.

“Asap (jerebu) yang masuk ke Malaysia, ke Kuala Lumpur, itu dari Sarawak dan dari Semenanjung Malaysia, dan juga mungkin sebahagian dari Kalimantan Barat. Oleh itu (Malaysia) seharusnya objektif menjelaskannya,” kata Siti Nurbaya.

Namun, menurut Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi, beliau tidak pernah menerima sebarang surat bantahan dari Malaysia berhubung perkara itu.

“Sampai sekarang saya belum terima (surat protes) (tapi) Menteri Siti Nurbaya dan BMKG sudah buat kenyataan berkaitan masalah ini (kononnya Malaysia hantar surat bantahan),” kata Retno dipetik media tempatan.

Lebih 42,000 hektar kawasan hutan dan ladang direkodkan telah terbakar sejak Januari lepas, dengan beratus hektar dilaporkan masih terbakar melibatkan beberapa provinsi atau wilayah di Indonesia.

Lebih 6,000 petugas pemadam kebakaran, yang turut dibantu polis dan tentera kini dikerahkan memadam kawasan kebakaran di Riau, Jambi, Pekanbaru dan Kalimantan.

— BERNAMA