Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.

KUALA LUMPUR – Jika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya umum lalu, rakyat tidak akan berada dalam kesusahan dan kesulitan seperti sekarang.

Bahkan, kerajaan BN akan melipatganda lagi kebajikan dan mewujudkan kira-kira 1.3 juta peluang pekerjaan melalui projek Malaysian Vision Valley sebagaimana dijanjikan dalam manifestonya.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, kerajaan BN juga akan memastikan kadar pengangguran menurun melalui Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang menawarkan bayaran shingga RM2,000 kepada graduan.

Pada masa sama, katanya, biasiswa kepada pelajar juga akan terus diberikan melalui program MyBrain15.

“Jika BN masih memerintah, sebuah bank khas akan ditubuhkan bagi menguruskan pinjaman Perumahan Mampu Milik dan Perumahan Kos Rendah yang berharga RM300,000 dan ke bawah melalui program 1Negaraku.

“Begitu juga lebih banyak Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) diwujudkan bagi memudahkan urusan rakyat, selain membantu usahawan kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab kenyataan Marina Mahathir dalam temubual dengan sebuah portal semalam mendakwa, beliau tidak dapat membayangkan apa bakal berlaku kepada negara sekiranya Pakatan Harapan (PH) kalah pada PRU-14 dan ke mana arah tuju rakyat Malaysia ketika itu.

Marina dalam temubual itu turut dipetik berkata, apabila rakyat menonton dokumentari M for Malaysia ia akan mengingatkan mereka kepada perjuangan demi menyelamatkan negara.

Najmil Faiz yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terenggani berkata, banyak dalam perancangan BN akan diterjemahkan kepada rakyat seperti memperkasakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan peningkatan yang lebih tinggi untuk membantu rakyat.

Katanya, pelbagai lagi inisiatif akan dilakukan kerajaan BN ketika itu untuk meningkatkan sosioekonomi rakyat yang merangkumi penduduk bandar dan juga luar bandar.

“Jika BN masih memerintah, negara akan mempunyai hala tuju jelas dengan adanya dasar awam yang cekap seperti Program Transformasi Ekonomi yang akan memacu pendapatan negara kasar (GNI) kepada AS$523 bilion menjelang 2020.

“Rakyat juga tidak dizalimi seperti kerajaan PH lakukan hari ini seperti hendak memansuhkan skim pencen penjawat awam, memansuhkan bantuan tanaman semula kepada pekebun kecil, memansuhkan MyBrain15, berlakunya perpecahan perpaduan, kelembapan ekonomi serta pelbagai lagi masalah lain.

“Realiti politik hari ini jelas membuktikan negara tiada hala tuju apabila diperintah oleh PH,” katanya.

Beliau menjelaskan, retorik politik pemimpin PH dapat dinilai rakyat sebagai satu pembohongan kerana terbukti dengan fakta bahawa keadaan negara semakin lemah sepanjang satu tahun empat bulan pemerintahannya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yang terbaik adalah pemimpin pemimpin menjiwakan hati rakyat semoga kita mendapat keredhaan dari Allah untuk membimbing ke jalan yang benar siapa yang teriniaya.

Comments are closed.