Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China telah mendorong Malaysia untuk meningkatkan daya saing negara dan memastikan pangkalan-pangkalan pembuatan negara terutama sektor elektrik dan elektronik sentiasa relevan dalam rantaian bekalan dunia yang baharu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Malaysia sedar ia bukanlah satu-satunya negara yang sedang berusaha untuk mendapatkan manfaat daripada proses orientasi semula rantai bekalan dunia kerana bersaing dengan Thailand dan Vietnam.

Malaysia kini dalam satu perlumbaan penting yang akan menentukan landasan pertumbuhan ekonomi untuk dekad-dekad yang mendatang, seperti mana proses industrialisasi Malaysia yang lampau.

Menurutnya, walaupun Malaysia berdepan dengan persaingan yang hebat, namun faedah berbanding (comparative advantage) dan kelebihan daya saing (competitive advantage) negara akan mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan dan pelaburan.

Ini disebabkan Malaysia mempunyai infrastruktur berkualiti tinggi, populasi yang boleh bertutur pelbagai bahasa dengan penggunaan bahasa Inggeris yang meluas, pekerja mahir, kedaulatan undang-undang serta perlindungan ke atas hak intelek yang kuat, dan hubungan erat dengan pasaran dunia.

“Langkah-langkah pembaharuan juga telah menjadikan institusi negara lebih dipercayai dan telus, tambahan lagi, Malaysia merupakan negara yang ke-15 paling mudah untuk menjalankan perniagaan dalam kalangan 190 negara seperti yang dilaporkan oleh Bank Dunia.

“Ini menjadikan Malaysia sebuah tempat selamat yang baik semasa pelbagai syarikat sedang mencari dan mencipta rantai bekalan yang baharu untuk mengelak daripada menjadi mangsa perang perdagangan,” katanya ketika berucap
kepada Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 bagi industri elektrik dan elektronik.

Pada separuh tahun pertama 2019, pelaburan asing yang diluluskan telah naik 97.2% kepada RM49.5 bilion daripada
RM25.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu dan daripada RM49.5 bilion tersebut, RM25.1 bilion adalah untuk sektor pembuatan.

Malaysia mencatatkan nilai pelaburan asing yang diluluskan yang tinggi dalam sejarah pada tahun 2018, iaitu sebanyak RM80.1 bilion dengan RM58.0 bilion pelaburan pembuatan.

Tambahnya, kerajaan sedang bertungkus-lumus menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi, di samping memberi pelbagai insentif pelaburan.

Katanya, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Pelaburan I (NCII) untuk mempercepatkan proses kelulusan pelaburan dan membantu Malaysia menjadi proaktif semasa perubahan pasaran berlaku dengan pantas.

Dalam mesyuarat pertama, NCII telah meluluskan 3 projek bernilai RM2.2 bilion daripada sumber tempatan
dan asing. – MalaysiaGazette