Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Penganjur Naratif Malaysia Baharu diminta menjawab lima persoalan berhubung dakwaannya bahawa forum itu tidak bertujuan politik, tetapi hanya untuk menyemai rasa kasih kepada negara sempena Hari Malaysia.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, lima persoalan yang perlu dijawab ialah kenapa panelis forum mempersoalkan buku teks sejarah yang kononnya mengandungi terlalu banyak elemen Islam?

Katanya, jika tidak bertujuan politik dan mahu menyemai rasa kasih kepada negara, kenapa panelis forum itu mempersoalkan buku teks sejarah yang menyebut mengenai Malaysia negara asal orang Melayu dan orang Melayu mempunyai kedudukan istimewa dalam negara ini?

Tidak bertujuan politik dan mahu menyemai rasa kasih kepada negara konon, tetapi panelis forum itu mempersoalkan buku teks sejarah yang menyebut Perikatan adalah pihak yang memerdekakan negara ini.

“Panelis juga menganjurkan supaya buku teks sejarah diubah bagi memasukkan elemen Kristian di dalamnya.

“Dan kelima, panelis forum mendakwa tanpa memberi sebarang bukti bahawa orang Melayu telah lama menerima Kristian dan Munsyi Abdullah adalah bapa Melayu Kristian moden?,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad Fadhli berkata, apabila Pas meminta polis menyiasat forum itu, jawapan Ahli Parlimen Bukit Mertajam dari DAP, Steven Sim Chee Keong seolah-olah memberi gambaran Pas sebuah parti ekstremis.

Mereka menyebut kononnya Pas sebuah parti yang teruk kerana mengganggu kebebasan golongan Kristian untuk beragama, sedangkan majlis di gereja itu didakwa hanya untuk penganut Kristian.

“Bagi saya, forum itu bertujuan politik dan menyemai bukan rasa kasih, tetapi rasa benci sesama rakyat.

“Sangat wajar sekali jika pihak penganjur dan panelis forum itu disiasat oleh polis,” katanya. – MalaysiaGazette