Isham Jalil
Isham Jalil

SHAH ALAM – NGO Jaringan Sukarelawan Malaysia mempelawa Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah berdailog dengan penduduk yang rumah mereka dirobohkan di Paya Jaras, baru-baru ini.

Pengerusinya, Isham Jalil berkata, mereka juga menjemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Khairuddin Othman dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mariam Abdul Rashid datang bersama untuk menjelaskan kepada penduduk, yang mereka sebenarnya pendatang tanpa izin.

Katanya, keempat-empat pemimpin itu boleh memberi sejelas-jelas penerangan kepada penduduk terbabit dan rakyat di Selangor khususnya berhubung tindakan kerajaan negeri merobohkan rumah berkenaan.

“Mereka perlu datang. Inilah peluang untuk Amirudin, Sivarasa, Mariam dan Khairuddin berdialog dengan penduduk itu sendiri.

“Mereka boleh jelaskan secara bersemuka bahawa keluarga yang rumah dirobohkan itu sebenarnya pendatang asing, selain tinggal di atas tanah haram dan degil tidak mahu berpindah,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.

Menurut Isham, beliau dan penduduk menunggu kedatangan keempat-empat pembesar berkenaan ke kawasan itu bila-bila masa. – MalaysiaGazette