Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Persidangan Kepimpinan APEX 2019 di Hotel Pullman Bangsar, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berkongsi pengalamannya di Penjara Sungai Buloh mendakwa, tidak semua mereka yang dimasukkan ke pusat tahanan itu bersalah.

Menurut Anwar, beliau sendiri menemui seorang banduan yang terpaksa menunggu sehingga enam bulan di penjara hanya kerana menunggu tarikh perbicaraan di mahkamah.

Katanya, penderitaan itu tidak pula dialami oleh mereka yang mencuri berbilion ringgit bahkan individu terbabit mendapat gelaran Tan Sri mahupun Tun.

“Saya lihat dalam penjara semua penderitaan, tak semua bersalah. Saya masih ingat ketika nak berjumpa peguam, saya ternampak seorang pemuda.

“Saya tanya penjaga, anak ini curi apa? Tidak saya bukan polis, saya bukan hakim, saya nak tahu.

“Saya (pemuda) curi jeans dekat pasaraya. Berapa lama duduk dalam penjara? Enam bulan. Kenapa lama sangat? Reman nak tunggu majistret bagi tarikh.

“Awak curi satu jeans, awak duduk enam bulan di penjara. Awak curi bilion, awak dapat Tan Sri atau Tun,” kata Anwar dalam Seminar Kepimpinan APEX di Hotel Pullman, Bangsar, di sini, hari ini.

Anwar juga menegaskan, sesiapa yang bersalah tetap bersalah, bagaimanapun pihak berkuasa tidak wajar mewujudkan kesengsaraan kepada pesalah.

“Kita kena ada sikap simpati (kepada banduan), kalau dia buat silap, salah tetap salah.

“Jangan cipta kesengsaraan kepada mereka (banduan),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.