Datuk Salahuddin Ayub.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) masih berpegang teguh kepada perjanjian untuk mengangkat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri kelapan, kata Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Jelasnya, pemahaman itu sudah dimeterai dalam perjanjian PH selepas gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), tahun lalu.

“Kita buat keputusan itu bersama (lantik Mahathir sebagai PM ketujuh, Anwar sebagai PM kelapan).

“Amanah sebahagian dari PH dan jelas beritahu perjanjian pada waktu itu ialah Tun Dr Mahathir sebagai PM ketujuh dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM kelapan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Salahuddin menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengatakan pendiriannya menyokong Mahathir agar memegang jawatan PM sehingga PRU-15.

Menjawab mengenai kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu yang mendakwa PH mampu untuk membentuk kerajaan tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Salahuddin berkata, itu hanya pandangan peribadi seorang ahli DAP.

Katanya lagi, kenyataan itu hanya rasa tidak puas hati dengan kepimpinan Mahathir dalam PH.

“Sikap dan pendirian Majlis Presiden PH tak berubah kita masih pegang teguh prinsip dan janji kita meterai masa tubuh PH, masa janji laksana manifesto dan demikian masa janji dalam Konvensyen Pertama PH tubuh.

“Apa apa pandangan yang lahir hari ini saya anggap hanya pandangan peribadi masing-masing,” katanya lagi.

Ronnie semalam berkata DAP, PKR, Amanah, Warisan dan UPKO yang secara keseluruhannya mempunyai 113 kerusi parlimen cukup untuk membentuk kerajaan tanpa Bersatu. -MalaysiaGazette