CALIFORNIA – ‘Amaran bendera merah melampau’ telah dikeluarkan di selatan California oleh Jabatan Cuaca Los Angelas yang meliputi kawasan Ventura dan San Bernadino.
Dengan angin dijangka bertiup 128 kilometer sejam, menimbulkan kebimbangan kebakaran hutan lebih besar yang kini sudah mencecah 658 hektar.
Pada masa ini kira-kira 1,100 orang anggota bomba sedang bertungkus lumus memadam kebakaran dan 10,000 struktur berisiko.
Setakat ini lapan buah rumah telah musnah dijilat oleh kebakaran yang digelar Getty Fire dan lima lagi mengalami kerosakan.
“Angin Santa Ana diramal kuat dalam musim ini dan dijangka menjejaskan usaha memadamkan kebakaran,” kata Jabatan Cuaca.
Ketua Pasukan Bomba, Ralph M Terrazas berkata, matlamat bomba kini hanya meningkatkan kawalan kebakaran menjelang perubahan angin.
Katanya, pihak bomba amat bimbang dengan ancaman angin.
Datuk Bandar Los Angeles, Eric Garcetti pula berkata, lebih 7,000 penduduk sudah dipindah dan tidak dibenarkan pulang sehingga keadaan disahkan selamat. – MalaysiaGazette