foto. - Gambat Hiasan (Agensi)

BANDA ACEH – Seorang ahli Majlis Ulema Aceh (MPU) yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan syariah di wilayah tersebut disebat di khalayak ramai di Banda Aceh selepas lelaki itu didapati bersalah berkhalwat dengan seorang wanita.

Mukhlis Muhammad disebat sebanyak 28 kali dengan rotan semalam manakala wanita tersebut, Nurmawati Abdurrahman, disebat sebanyak 25 kali, lapor agensi berita Antara seperti dipetik The Jakarta Post.

Mahkamah Syariah Banda Aceh mendapati kedua-dua individu itu berkhalwat dan melanggar Kanun Jenayah Aceh (undang-undang kecil jenayah Islam) selepas kedua-duanya ditangkap dalam sebuah kereta yang dipakir di Pantai Ulee Lheu pada 25 September lalu, kata Timbalan Datuk Bandar Banda Aceh, Bakhtiar.

Beliau mengesahkan Mukhlis merupakan ahli MPU.

Aceh merupakan hanya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam. Pentadbiran wilayah tersebut melaksanakan sepenuhnya Kanun Jenayah sejak 2015.

Selain berkhalwat, hukuman sebat di khalayak ramai juga dilaksanakan bagi mereka yang didapati bersalah kerana berjudi dan melakukan homoseksual.

Mukhlis dilaporkan merupakan ahli MPU pertama disebat di hadapan khalayak ramai sejak pelaksanaan undang-undang Islam di Aceh. – Agensi