Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) ada strategi tersendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Malah, UMNO dan BN berkeyakinan bahawa keputusan yang dibuat pada PRK Tanjung Piai adalah tepat, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kenyataan yang dibuat calon Berjasa, Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz bahawa parti tersebut berjanji untuk meletakkan calon Melayu adalah tidak betul.

Tegas Shamsul lagi, calon Badhrulhisham tidak perlu mempersoalkan apa yang BN lakukan, sebaliknya lebih baik beliau menumpukan usaha menonjolkan Parti Berjasa kepada pengundi daripada menimbulkan cerita tidak benar mengenai UMNO BN.

“Lagipun tidak ramai yang tahu apa asas dan hala tuju perjuangan Berjasa ini,” katanya.

Dalam ceramah di Kampung Rimba Terjun, Badhrulhisham berkata, parti itu bertanding dalam PRK Tanjung Piai selepas UMNO dan BN memutuskan untuk meletakan calon bukan Melayu.

Katanya, parti itu telah meminta UMNO, Pas dan BN meletakan calon orang Melayu demi kesatuan bangsa itu.

“UMNO pada mulanya telah berjanji pada orang Tanjung Piai untuk meletakan calon orang Melayu tapi mereka tidak mengotakan janjinya dan tunduk pada MCA. Kami beri amaran, kami beri peringatan, kalau MCA diletakkan calon oleh Barisan Nasional, Berjasa akan masuk demi orang Islam,” kata Badhrulhisham. – MalaysiaGazette

TERKINI : UMNO Janji Letak Calon Melayu “Tapi Kena Ugut Dengan MCA” – BadhBadhrulhisham