Pegawai Pengurus SPR, Zulkifly Mohd Tahir melihat beberapa pekerja SPR membuat kerja-kerja persiapan terakhir menjelang undi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan Jubli Intan Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan Pengasas Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bahawa terdapat individu yang menyamar sebagai pegawai badan bebas berkenaan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir berkata, pihaknya mendapat maklum mengenai perkara itu yang kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan.

Katanya, tidak mungkin berlaku penyamaran membabitkan pegawai SPR kerana semua petugas diberikan kad kuasa sebagai identiti pengenalan mereka yang boleh disemak.

“Macam saya sebut, pilihan raya ini macam orang raya, bila raya ni macam-macam cerita keluar. Asalkan jangan berbunuh berbakar-bakar sudah,” katanya ketika ditemui di Pusat Penjumlahan Undi, Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.

Zulkifly ditanya mengenai dakwaan Shamsubahrin apabila menyatakan kempen calon bebas, Faridah Aryani Abdul Ghaffar diganggu oleh tiga individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Shamsubahrin, insiden berlaku kelmarin ketika rombongan jenteranya mengadakan walkabout di Pasar Malam, di Taman Utama dekat Pekan Nanas.

Beliau berkata, mereka didatangi beberapa lelaki yang mendakwa pegawai SPR dan meminta agar calon dan rombongannya beredar dari kawasan pasar malam dengan alasaan tidak mempunyai permit untuk berkempen di situ.

Ujarnya, walaupun telah dinyatakan kepada mereka bahawa kempen yang dilakukan telah mendapat permit daripada Ibu Pejabat Polis Pontian namun, individu-individu terbabit tidak mengendahkannya.

Zulkifly menambah, memang terdapat pelbagai masalah yang dihadapi dan perkara seperti itu merupakan perkara biasa ditemui dalam sesuatu pilihan raya.

Sementara itu, dalam satu sidang media pagi tadi, Ketua Polis Negeri, Komisioner Datuk Mohd Kamaruddin Md Din mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun katanya, insiden yang berlaku merupakan salah faham antara calon dan jenteranya dengan pegawai penguatkuasa SPR berkenaan ekoran mereka itu tidak dikenali.

Terdahulu, Zulkifly melakukan tinjauan di pusat penjumlahan berkenaan bagi melihat persediaan sebelum bermulanya undi awal bagi PRK berkenaan yang akan berlangsung esok.

Ejen-ejen calon dibenar untuk memeriksa kertas undi yang akan dipamerkan kepada mereka petang ini bermula dari pukul 2.30 hingga 4.30 petang.

Seramai 280 pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis akan membuang undi di Bangunan Perkep, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang. – MalaysiaGazette

Shamsubahrin dakwa kempen Faridah diganggu individu menyamar pegawai SPR

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast