Ahmad Syukri Che Ab Razab
Ahmad Syukri Che Ab Razab.

KUALA LUMPUR – Tidak wajar mana-mana pihak mencampuri keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Malaysia pada 20 Oktober lalu untuk mengundang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perasmi Kongres Nasional Tahunan AMK 2019.

Setiausaha AMK Malaysia, Syukri Razab berkata, tidak wajar pihak terbabit membelakangkan keputusan sayap PKR itu, apatah lagi mempertikaikan pemilihan perasmi kongres yang didakwa tidak mengikut tradisi parti.

“Keputusan untuk mengundang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perasmi Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 merupakan keputusan yang dicapai secara konsensus dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK Malaysia yang berlangsung pada 20 Oktober 2019.

“Adalah amat tidak wajar untuk mencampuri urusan ini sehingga membelakangkan keputusan yang telah dicapai secara konsensus dalam mesyuarat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian bahawa Konvensyen Keadilan Negeri Sarawak yang sepatutnya berlangsung pada 23 November ini akan ditangguhkan.

Menurut Baru Bian, ia berikutan isu pembatalan jemputan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai perasmi Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 tidak diselesaikan segera.

Dalam pada itu, Syukri juga berkata, pembatalan jemputan perasmi kepada Mohamed Azmin sebenarnya dibuat atas faktor disiplin Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sendiri dalam parti.

“Apakah wajar pentas terbesar yang menjadi acara tahunan AMK disediakan untuk pemimpin yang secara terang-terangan tidak menghormati kepimpinan dan organisasi parti,” katanya.

Syukri berkata, tidak timbul soal AMK Malaysia melanggar tradisi parti itu sejak 20 tahun lalu susulan menukar jemputan perasmi yang lazimnya dilakukan oleh Timbalan Presiden dan bukannya penasihat parti.

“Untuk mereka ini saya ingin menyeru agar marilah sama-sama kita membetulkan yang biasa dan membiasakan apa yang betul.

“Sebelum berbicara soal tradisi dan konvensyen, lihat dulu peraturan bertulis yang secara terang-terangan dilanggar oleh beberapa individu dalam Keadilan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha menyifatkan tindakan AMK Malaysia yang membatalkan jemputan kepada Mohamed Azmin sebagai melanggari tradisi PKR yang diamalkan sejak ia ditubuhkan lagi.

Menurut Syukri, pembatalan jemputan kepada Mohamed Azmin dilakukan atas sebab pelanggaran Perlembagaan PKR, antaranya, Perkara 21.16 Perlembagaan PKR dan Perkara 7.14 Perlembagaan AMK.

Syukri turut menyifatkan mana-mana pimpinan yang tidak patuh kepada mesyuarat dan disiplin PKR disifatkan sebagai perosak kepada demokrasi dalam PKR.

“Mana suara pihak-pihak ini sewaktu mengetahui YB Azmin telah secara konsisten tidak hadir Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat Keadilan?

“Janganlah menunggang kalimah tradisi hanya semata-mata untuk kepentingan politik kabilah.

“Demokrasi dalam Keadilan akan terlaksana dengan baik jika semua pemimpin dan anggota menghormati disiplin organisasi, hadir ke mesyuarat dan hormat kepada kepimpinan utama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast