Foto Agensi

BRAZAIL – Dua gol dalam tempoh 10 minit terakhir berjaya Brazil menjulang Piala Dunia B-17 buat kali keempat untuk bangkit dari ketinggalan dengan menumpaskan Mexico 2-1 di hadapan penyokong sendiri.

Tiga hari sebelum itu, Brazil turut kembali dari ketinggalan 0-2 sebelum bangkit menewaskan Perancis 3-2 di peringkat separuh akhir.

Sekalipun Brazil mempunyai deretan peluang untuk menjaringkan gol, Mexico terlebih dahulu di depan pada minit ke-66 apabila Bryan Gonzales mengatasi dua pemain pertahanan Brazil untuk menanduk masuk hantaran lintang dari sebelah kiri.

Kaio Jorge kemudian menyamakan kedudukan buat pasukan tuan rumah menerusi sepakan penalti ketika permaian berbaki enam minit selepas pengadil VAR memberi panduan kepada pengadil perlawanan bahawa terdapat kekasaran berlaku terhadap Gabriel Veron di dalam kotak penalti.

Akhirnya pada minit ketiga masa kecederaan, pemain gantian Lazaro menyudahkan hantaran lintang untuk memberikan gol kemenangan yang meggegar stadium dengan sorakan penyokong tuan rumah.

Penyerang Flamengo itu juga menjadi hero menjaringkan gol kemenangan sewaktu Brazil menumpaskan Perancis di separuh akhir tempoh hari juga selaku pemain gantian.

Kemenangan itu boleh dianggap sebagai dendam yang terlunas apabila Brazil tewas kepada Mexico 3-0 dalam perlawanan akhir Piala Dunia B-17 pada 2005 dan begitu juga dengan skuad B-23 yang juga tewas di perlawanan akhir Olimpik 2012.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, Arnaud Kalimuendo-Muinga mencatat hatrik untuk membantu Perancis mengalahkan Belanda 3-1.

Penyerang Belanda, Sontje Hansen pula merangkul anugerah kasut emas selepas muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast