Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Peranan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai bank pusat yang bebas dan profesional seperti yang diperuntukan oleh Akta Bank Negara Malaysia, penting bagi menjamin kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata peranan bebas tersebut juga membolehkan BNM memberi tumpuan kepada perspektif ekonomi dan sistem kewangan untuk jangka panjang.

“Biarpun berdepan dengan persekitaran global yang semakin mencabar serta turun naik dalam pasaran antarabangsa, BNM sebagai pelindung dan pemegang amanah sistem kewangan negara, akan terus memegang mandat itu dan menjadikannya sebagai keutamaan.

“Berakarkan nasional, berakalkan global – BNM akan memastikan langkah-langkah yang diambil seiring dengan peredaran masa untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi, penuh integriti dan profesional untuk kepentingan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pameran baharu pihak Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia yang disempurnakan oleh Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Muhriz ibni Almarhun Tuanku Munawir.

Pameran bertajuk ‘Demi Tanah Air: 60 Tahun sebagai Bank Pusat’ itu akan di buka mulai 16 Dis hingga 30 Jun 2020.

Pengunjung berpeluang menyaksikan lebih 100 bahan pameran berusia seawal 80 tahun lalu, termasuk pelbagai artifak, filem dan foto-foto nostalgia menarik yang belum pernah dipamerkan sebelum ini.- BERNAMA