KUALA LUMPUR – Proton menyasar menjual 400,000 kenderaan pada 2027 dengan majoriti kenderaannya dihasilkan di kilangnya di Tanjung Malim.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, peningkatan jualan itu akan menyaksikan lebih banyak pelabutran masuk ke Malaysia.

“Sehingga hari ini, sejumlah RM263 juta pelaburan dilakukan berikutan usaha Proton,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pengeluaran Proton X70 di Tanjung Malam hari ini.

Menurutnya, Proton City di Tanjung Malim akan menjadi pusat pengeluaran automotif untuk Proton.

Katanya, kini seramai 2,006 orang bekerja dengan Proton di Tanjung Malim dan pengeluar kenderaan itu merancang meningkatkan tanaga kerjanya pada masa depan.

Menurut Darell, jalinan kerjasama Proton-Geely penting apabila eko sistem vendor pembuat kereta nasional itu berkembang dengan padanan syarikat tempatan dan asing berkerja bersama-sama untuk membekalkan alat ganti untuk model terkini dan model masa depan.

Ujarnya, ia membawa pelaburan kepada ekonomi Malaysia selain  membantu mewujudkan peluang pekerjaan. – MalaysiaGazette