KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak pernah meminta dilantik sebagai Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd.

“Saya tak pernah minta jadi penasihat emeritus,” katanya ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram.

Sebelum itu Sithambaram berkata, Najib sebagai Penasihat Emeritus sepatutnya bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah khususnya melibatkan  penggunaan RM4 bilion wang syarikat itu pada 2010 dan 2011.

“Tidak, tidak, tidak, tak setuju (bahawa saya mahu dilantik menjadi Penasihat Emeritus (SRC)” katanya lagi.

Najib berkata, beliau terkejut apabila mengetahui SRC International terlibat dalam pelaburan luar negeri yang melibatkan modal syarikat berjumlah RM3.6 bilion.

Bukan tidak berminat terhadap apa yang berlaku dalam syarikat berkenaan apabila mengaku tidak meminta penjelasan lanjut kerana tidak pernah diberitahu oleh Ahli Lembaga Pengarah bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau menyerahkan perihal SRC kepada pihak pengurusan.

Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan Sithambaram bahawa tindakannya yang tidak mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut berkenaan pelaburan luar negeri itu kerana telah mengetahui dan telah menandatangani resolusi pemegang saham.

Resolusi pemegang saham itu dijadikan bahan bukti dan ditunjukkan dalam mahkamah di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sithambaram: Datuk Seri, dalam keterangan saksi kamu, kamu memberitahu ada dimaklumkan oleh Nik Faisal bahawa pelaburan kira-kira RM3.6 bilion ini dijalankan oleh Ahli Lembaga Pengarah.

Najib: Kalau saya berkata demikian dalam keterangan saksi, ya.

Sithambaram: Daripada Datuk Seri, itu bermaksud kamu mesti sudah mengeluarkan resolusi pemegang saham seperti yang ditunjukkan kepada kamu.

Najib: Tidak semestinya seperti itu.

Pada perbicaraan yang masuk hari ke-67, Najib mennafikan beliau memainkan peranan menggesa Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) KWAP mengeluarkan pinjaman bernilai RM4 bilion kepada SRC International dengan segera.

Untuk rekod sebelum ini dilaporkan kerajaan memberikan jaminan ke atas dua pinjaman dikeluarkan KWAP kepada SRC International, masing-masing bernilai RM2 bilion pada akhir 2011 dan RM2 lagi pada awal 2012. – MalaysiaGazette