Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyerahkan replika cek kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof pada sidang media Majlis Penyerahan Cek kepada JAKIM Untuk Sekolah Tahfiz, Sekolah Pondok dan Sekolah Agama Rakyat di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 15 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, mesyuarat Kabinet hari ini ada membincangkan mengenai cadangan pengambilalihan konsesi lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd. (PLUS).

Beliau bagaimanapun tidak mahu mendedahkan butiran terperinci mengenai perkara tersebut.

“Perkara mengenai tol PLUS ada dibincangkan tetapi biarlah perkara ini diumumkan dalam satu kenyataan bertulis.

“Sila tunggu kenyataan bertulis yang akan dikeluarkan,” katanya tanpa memberitahu bilakah kenyataan tersebut akan dikeluarkan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan sebanyak RM100 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk kegunaan sekolah tahfiz, sekolah agama dan sekolah pondok di kementeriannya hari ini.

Isnin lalu, Guan Eng berkata, cadangan pengambilan PLUS dan empat lebuh raya berkaitan Gamuda Bhd di Lembah Klang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Katanya, pengumuman akan dibuat selepas perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Tunggulah pengumuman, saya tidak boleh membuat pengumuman secara spontan kerana itu adalah pengumuman penting, biasanya berdasarkan kenyataan bertulis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengarah-Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia.

Artikel berkaitan: Kabinet bincang ambil alih PLUS Rabu ini

Kerajaan tidak boleh jual PLUS tanpa persetujuan

Siapa menang bidaan PLUS?

Disember lepas, Menteri Kerja Raya Baru Bian dilaporkan sebagai berkata Kabinet mengarahkan butiran mengenai pengambilalihan konsesi lebuh raya PLUS itu dibentangkan semula.

UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51 peratus saham dalam PLUS manakala baki 49 peratus dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Sementara itu, empat lebuh raya berkaitan Gamuda tersebut ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart). – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.