Datuk Ahmad Yakob

KUALA LUMPURR – Tuduhan kononnya pembelian kenderaan rasmi pimpinan menggunakan peruntukan khas kepada kerajaan negeri sebanyak RM400 juta merupakan fitnah dan berniat jahat.

Pejabat Menteri Besar dalam kenyataannya berkata, keputusan kerajaan negeri untuk menggantikan kenderaan rasmi pimpinan kerajaan negeri telah dibuat oleh Timbalan Menteri Besar pada 12 September 2018 lagi.

Katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menggantikan kenderaan rasmi bagi kegunaan Menteri Besar dan Exco Negeri secara berperingkat setelah membuat penelitian mengenai kenderaan lama yang telah digunakan sejak 10 hingga 12 tahun yang lalu.

“Kenderaan Rasmi Menteri Besar dengan NO. Pendaftaran DV 1 adalah kenderaan yang digunakan sejak pentadbiran Menteri Besar Dato’ Bentara Setia Al Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan kurniaan KDYMM Tuanku Al Sultan Kelantan.

“Dan kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menggantikan kenderaan yang digunakan sejak lebih 10 tahun itu dengan mengekalkan nombor pendaftaran asal iaitu DV 1 di Kenderaan Rasmi Baharu Menteri Besar Kelantan yang mana telah mendapat ampuni perkenan KDYMM Tuanku Al Sultan Kelantan,” katanya.

Semalam Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa mahu penjelasan mengenai kereta Mercedes Benz baharu yang dikatakan milik Menteri Besar Kelantan.

Beliau mempersoalkan adakah pembelian kereta mewah bernombor DV 1 itu menggunakan wang bayaran tunai petroleum yang disalurkan oleh kerajaan pusat sebelum ini.

Untuk rekod, pada September 2018, kerajaan negeri itu mengakui membeli kereta Mercedes Benz untuk pegawai tinggi kerajaan dengan alasan tahap keselamatan lebih terjamin selain pembelian dilakukan mengikut keperluan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika itu memberitahu hanya sebuah kereta dibeli untuk kegunaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad.

Katanya, kerajaan negeri akan membeli beberapa lagi kereta jenis Mercedes Benz untuk EXCO yang tidak mempunyai kereta selain kereta sedia ada sudah digunakan lebih 10 tahun.

“Kita akui dari segi kewangan Kelantan tidak kaya berbanding negeri lain namun kita membeli kereta Mercedes Benz kerana ia satu keperluan dan kebanyakan kereta sedia ada sudah melebihi tempoh,” katanya. – MalaysiaGazette

MB Kelantan beli Mercedes guna wang hasil petroleum?