Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd menyemak semula Kadar Asas (BR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) susulan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus daripada tiga peratus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed, berkata kadar baharu yang berkuat kuasa pada 28 Jan, 2020 menyaksikan BR turun sebanyak 25 mata asas daripada 3.77 peratus kepada 3.52 peratus setahun manakala BFR daripada 6.72 peratus kepada 6.47 peratus setahun.

“Penurunan ini akan mengurangkan beban kewangan pengguna dan seterusnya merangsang pelaburan dan penggunaan domestik memandangkan kadar keuntungan akan diselaraskan sewajarnya.

“Selain itu, penurunan itu akan diterjemahkan kepada jumlah ansuran yang lebih rendah, sekali gus meningkatkan ekonomi,” kata Mohd Muazzam dalam kenyataan.

Semakan terakhir BR Bank Islam ialah pada 10 Mei 2019, dengan kadar diturunkan daripada 4.03 peratus kepada 3.77 peratus dan BFR daripada 6.98 peratus kepada 6.72 peratus.

Layari www.bankislam.com.my. untuk maklumat lanjut

— BERNAMA