PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA SELANGOR – Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah, dipercayai dianggotai enam sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak, selepas merampas syabu dan pil Eramin 5 bernilai kira-kira RM3.5 juta di sebuah rumah di Jalan Bagan Pasir, Tanjong Karang di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din, berkata dalam serbuan kira-kira jam 5 petang itu, polis merampas syabu seberat 61 kilogram (kg) dalam empat guni plastik  dan Eramin 5 seberat 11.65kg dalam empat bungkusan dibalut pita pelekat berwarna kuning.

Beliau berkata, dalam serbuan diketuai Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Ramli Kasa, polis menahan dua beradik wanita masing-masing berusia 36 dan 40 tahun, seorang wanita berusia 64 tahun dan tiga kanak-kanak.

Ramli berkata, pihaknya sedang mengesan seorang lagi individu dikenali sebagai Azam Mohamad Tasik, 30, bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata 1,502 individu ditahan dalam sekatan jalan raya di seluruh negara atas pelbagai kesalahan dadah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas hingga semalam.

Daripada jumlah tangkapan itu, katanya, 109 individu ditahan mengikut Seksyen 39(B) ADB 1952.

Beliau berkata, polis turut mengenal pasti beberapa taktik yang digunakan untuk mengedar dadah semasa tempoh pelaksanaan PKP, antaranya, melalui khidmat penghantaran makanan, trak tunda kenderaan dan van penghantaran jenazah. – Bernama