KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mencatatkan dagangan berhati-hati minggu depan dengan indeks komposit itu kekal sekitar paras sokongan psikologi pada 1,400 di tengah-tengah aktiviti pengambilan untung sederhana, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Beliau berkata para pelabur mahu menyimpan keuntungan mereka terutamanya memandangkan penjualan yang berlaku baru-baru ini.
“Indeks itu dijangka berlegar sekitar paras ini (1,400) minggu depan apabila para pelabur menimbang data ekonomi lemah yang akan datang dan harapan ekonomi dibukakan semula.
“Ini termasuk data tuntutan pengangguran mingguan di Amerika Syarikat (AS), Indeks Pengurus Penjualan (PMI) indeks di (AS, United Kingdom, Zon Eropah, Jepun), Indeks Sentimen Pengguna AS dan keputusan bank pusat China mengenai kadar utama pinjaman setahun dan kadar utama pinjaman lima tahunnya.
“Jadi ini merupakan petunjuk yang akan diumumkan minggu depan. Namun prospeknya dijangka kekal lemah,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, penurunan bilangan kes pesakit dijangkiti pandemik COVID-19 memberi harapan ekonomi akan dibuka tidak lama lagi.
Bagaimanapun, beliau berkata kekhuatiran kemungkinan wabak itu menular semula akan terus menjadi kebimbangan utama memandangkan hakikat bahawa setakat ini belum ada sebarang vaksin atau antibodi ditemui.
“Malahan pakar-pakar kesihatan menasihatkan agar ekonomi tidak dibuka terlalu awal.
“Oleh itu, akan ada alasan bagi pasaran ekuiti untuk kembali susut dan sesetengah pelabur mahu menyimpan keuntungan mereka,” jelasnya.
Bagi minggu yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia bermula rendah disebabkan sentimen lemah ekoran ketidaktentuan dalam pasaran minyak, penurunan penarafan oleh Fitch Ratings ke atas dua bank Malaysia dan kemungkinan kelewatan perbelanjaan modal oleh syarikat minyak utama.
Bagaimanapun, momentum meningkat pada Selasa susulan pengumuman data perdagangan China serta keyakinan bahawa pandemik COVID-19 telah mula mereda di beberapa negara yang terjejas teruk.
Pasaran juga mendapat rangasngan daripada kenyataan positif Tabung Kewangan Antarabangsa yang mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia berkembang pada kadar sembilan peratus tahun depan, yang paling pantas dalam kalangan ASEAN-5 yang dijangka menyaksikan purata pertumbuhan KDNK pada 7.8 peratus.
Selain Malaysia, ASEAN-5 termasuklah Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam, yang masing-masing dijangka berkembang sebanyak 8.2 peratus, 6.1 peratus, 7.6 peratus dan tujuh peratus.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 49.84 mata kepada 1,407.34 daripada 1,357.50 pada minggu sebelumnya.
Di papan skor, Indeks FBM Emas melonjak 382.89 mata kepada 9,774.94, Indeks FBMT 100 meningkat 368.09 mata kepada 9,656.75 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 474.41 mata kepada 10,837.52.
FBM 70 meningkat 548.83 mata kepada 11,563.58 dan Indeks FBM ACE naik 485.85 mata kepada 4,502.88.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 368.04 mata kepada 12,646.95, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 9.52 mata kepada 119.02 dan Indeks Perladangan meningkat 88.46 kepada 6,336.11.
Jumlah dagangan mingguan turun kepada 24.59 bilion unit bernilai RM12.0 bilion daripada 26.39 bilion unit bernilai RM12.56 bilion yang dicatatkan pada Jumaat minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 16.56 bilion saham bernilai RM10.76 bilion berbanding 19.51 bilion saham bernilai RM11.43 bilion.
Jumlah dagangan waran turun sedikit kepada 1.66 bilion unit bernilai RM291.51 juta daripada 1.77 bilion unit bernilai RM370.16 juta.
Bagaimanapun, jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 6.36 bilion saham bernilai RM947.27 juta berbanding 5.01 bilion saham bernilai RM760.68 juta. – MAlaysiaGazette